Showing posts with label Ekspresi~JwiSa. Show all posts
Showing posts with label Ekspresi~JwiSa. Show all posts

Oct 20, 2011

sebuah gambar

Tepat jam 5.03 petang, kereta emasku berhenti betul-betul di hadapan rumah. Yes, aku sampai rumah lebih awal dari mak. Sebelum turun dari kereta, sengaja aku melepak dalam ruang yang sejuk dan empuk itu sambil mendengar puisi yang dialunkan oleh DJ IKIM.

Tangan mencapai handphone yang turut 'kedinginan', ingin melayari halaman MukaBuku untuk seketika. Sejenak homepage MukaBuku terpapar, mataku tertarik pada sebuah gambar...





BUKAN SAJA-SAJA Allah meletakkan anda dalam BIDANG itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah mengurniakan anda KEPAKARAN itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah memasukkan KELEMAHAN itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah memberikan UJIAN sebegitu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah membiarkan anda mengemudi dalam KEADAAN sebegitu..

MELAINKAN Allah tahu anda akan memberikan sesuatu dalam bidang itu..
MELAINKAN Allah tahu anda bakal membiakkan ilmu-ilmu itu..
MELAINKAN Allah akan temukan anda dengan insan-insan ikhlas membantu..
MELAINKAN Allah mahu menguatkanmu.
.MELAINKAN Allah mahu anda tahu betapa tingginya kasih sayangNya padamu..

Sepintas membacanya, dengan tidak semena-mena pipiku terasa basah dek air mata yang tumpah. Kata-kata ini seolah-olah ditujukan khusus untukku, yang sedang merasai beratnya ujian yang dihadapi. Yang sedang merasa tidak terdaya menanggungnya. Yang sedang merasa sakit dan pedih yang tidak tertahankan. Yang sedang marasa lemah dan sungguh tidak terdaya..

Terpujuk jua hati yang rapuh ini, benarlah (dan yakinlah!) Allah sentiasa bersama mereka yang sabar.

"Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. 
Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." 
(2:153) 








Aug 31, 2011

Kini jadi kenangan~

Oh, aku tengah study~ VIVA exam bakal menyusul sejurus selepas cuti rayaa
Tapi nak menulis jugak, tiba-tiba teringat & terkenang...
Suasana lebaran nun jauh di timur. Tanpa mak & abah, tanpa keluarga & sanak saudara apa lagi duit raya..(hehe, nak mention jugak!)

Empat tahun berturut-turut aku menyambut lebaran di perantauan. Untuk lebih tepat, di Makassar. Rutin kami setiap tahun tak banyak berbeza. Gotong royong memasak juadah hari raya : kuah kacang, kuah lodeh, rendang, nasi himpit, ketupat & lemang. Tak ketinggalan kuih muih yang dikirim oleh orang tua dari Malaysia. Yang dah hancur pun ada, tapi layan je~

Tahun pertama di perantauan, perasaan excited lebih mengusai. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami anak-anak Malaysia menerima undangan rumah terbuka Prof Chaeruddin. Wah, seronoklah kami. Prof menyediakan dua buah bas untuk membawa kami dari Rusun ke kediamannya yang tersergam. Juadah ala Makassar kami nikmati dengan lahap. Sesuatu yang 'istimewa' dan menarik di sana adalah Coca Cola. Ambillah seberapa banyak yang kalian mahu. Yang tak berapa nak tahu malu tu, sampai masuk dalam beg. Buat bekal katanya. Aku tengok aje la. Tak pandai nak minum air-air yang mengembungkan perut ni..

Itu hari raya pertama. Gembira & sangat senang hati beraya dengan kawan-kawan. Menjelang hari raya kedua, kami sekali lagi menerima jemputan ke rumah seorang lagi guru (baca : doktor). Namun aku 'menarik diri' dari rombongan. Tahu kenapa? Hehe.. sebab tak cukup duit untuk transport ke sana. Abah belum sempat kirim duit belanja sebelum raya. Alamatnye, kene tunggu lepas raya baru dapat 'duit raya'. Berikat perutlah aku di bilik..(tapi kenapa time tu aku tak puasa je ek?)

Hari raya tahun kedua lebih menyedihkan. Aku diberi tanggungjawab mengendalikan sambutan hari raya tahun tersebut, berganding bersama rakan sejawat : Tuan Mohd Azlan. Macam-macamlah cabaran & kekangan yang dihadapi. Menangani kerenah-kerenah manusia yang tak berapa nak rajin bekerja, mengurus duit-duit yang pandai nak terbang sendiri, dan lain-lain hal yang agak bersifat peribadi. Waktu tu lah rasa naaak sangat balik beraya di Malaysia. Tapi apa boleh buat, inilah satu-satunya pilihan yang ada. Alhamdulillah, itu tanda sayang Allah padaku. Oh ye, tahun ni tak ada baju raya. Baju yang dikirim tak sempat sampai. Jawabnye, pinjam baju kawan. Nasib baik muat & memang baju baru. Sunnahnye kan berbaju baru dan bersih :)

Tahun ke tiga..mm, apa yang terjadi tahun ketiga ye? Tak ingat apa-apa yang menarik pun. Raya seperti biasa, dengan baju raya yang mak jahit-kain batik Jakarta :)

Tahun keempat, majoriti kawan-kawan balik beraya di Malaysia. Almaklum memang tengah cuti, baru habis wisuda (baca : konvo) pre-clinical. Batch aku yang tak balik masa tu cuma aku dan Zuhri. Sedih! Tapi aku punya perancangan tersendiri. Balik beraya akan mengganggu jadual kuliah 'tambahan' yang perlu aku hadiri, dan aku 'menyimpan' cuti untuk Aidiladha nanti. Perlu balik untuk meraikan walimah kakanda Usayd. So berkorban la sikit (setahun 3 bulan tak balik...tahap homesick dah makin memuncak). Alhamdulillah, sangat terasa nikmatnya :)


Menyambut lebaran diperantauan memberikan pengalaman yang tersendiri.

Sangat terasa ukhuwah & ikatan kekeluargaan bila sama-sama duduk bersila mengupas bawang & halia, menumbuk kacang, membasuh ayam, berbelanja di pasar lecak (oh, kami pernah meredah banjir lumpur setinggi bawah lutut di pasar sehari sebelum raya), menghias aula (dewan kecil serbaguna kami) sambil dengar lagu raya, main bunga api di halaman rusun, menyalakan pelita, (tengok orang) membakar lemang, buat nasi himpit tak jadi, buat kek batik, membakar kek pakai oven sampai black out satu rusun, dan..dan..dan...seterusnya. Subhanallah, banyak kenangan yang saaangat manis untuk diimbas. Alhamdulillah, semua itu menambah perasa dalam kehidupanku :)

Okeh, masa habis!
Nak g sambung study.
Doakan insan kerdil ini menghadapi exam lepas raya nanti.

Ya Rabb,
Lancarkan aku berkata-kata, lembutkan hati penguji-pengujiku.
Yang lebih penting, berkati aku dengan ilmuMu, Ya Allah!

~JwiSa

May 16, 2011

tanpa tajuk


Hari itu hari yang sangat menggembirakan. Walaupun tidak ada brain-pacemaker yang merangsang kegembiraan ini, aktivasi saraf simpatis benar-benar terjadi. Ia mendominasi kekuatan lawannya. Amygdala & hippocampus juga pasti sedang giat bekerja mempertahankan perasaan girang ini. Seluruh sistem tubuhku meraikannya. Otot-otot & tendon tangkas beraktiviti. Bergerak ke sana ke mari. Saraf-saraf wajah (facial nerve) tidak ketinggalan mengukir senyum di wajahku. Jiwa terasa lapang, segala beban yang terawang-awang di fikiran pecah berkecai. Aku berjalan senang, menelusuri lorong-lorong kehidupan. Kegembiraan membawa aku jauh ke dalam dunia sendiri, tidak merasakn bahang mentari yang membakar. Tidak juga terhidu kepulan-kepulan asap yang memenuhi ruang udara di kota batu ini.

Tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang agak kuat dari arah belakang. Mengejutkan aku dari alam gembiraku. Serentak dengan itu, aku terhumban ke depan. Jatuh. Terasa sakit di bahu kananku. Sakitnya bukan kepalang, lebih sakit dari sakit yang dirasakan akibat jatuh. Jauh lebih sakit. Tangan kiriku refleks memegang bahagian yang terasa sakit. Sementara tangan kananku seperti kehilangan keupayaan motoriknya, tidak mampu berbuat apa selain merasakan sakit. Tangan kiriku kini basah, merah. Bukan eritem akibat dilatasi salur darah. Tapi merah secara fizikal, merah yang benar-benar merah. Merah, gelap, pekat. Merah kerana darah. Mencurah-curah.

Aku menoleh ke belakang. Dalam kesakitan, inkuiri tetap mampu memerintahkan segenap sistem tubuh untuk bereaksi. Ingin melihat sendiri sumber bunyi letupan tadi, dan kenapa sampai ia membuatkan aku sakit, mungkin merobek otot pectoralis major kananku malah melumpuhkan lalulintas plexsus brachialis di dalamnya.  

Retina cepat menangkap sorotan-sorotan cahaya yang masuk melalui pupil kedua bola mataku. Satu imej terhasil dari proses interpretasi yang kompleks dan sangat cepat (lebih cepat dari kerdipan mata). Amygdalaku kembali bekerja. Kali ini untuk membuka simpanan-simpanan memori yang tersimpan kemas dalam kamar tak berpintu. Oh, imej itu adalah sosok seseorang yang sangat aku kenal. Berdiri 300 meter di hadapanku, sedang tangan kirinya menggenggam erat sepucuk pistol FR-Sport hitam. Ketahuilah aku, bahawa bunyi letupan itu adalah bunyi muntahan dari senjata tersebut dan malangnya, muntahannya ‘terpalit’ menembusi lobus superior paru-paru kananku. Sesak, pandangan kabur. Gelap. Pengsan, koma.

 * * *

Kini aku nampak cahaya. Lebih 4 bulan aku tidak melihatnya. Seluruh tubuhku terasa lemah akibat tidak beraktiviti selama tempoh waktu itu. Dan kini mereka harus kembali bekerja bersama-samaku. Maka kami perlukan waktu untuk menjadi optimal kembali. Fisioterapi! 

JwiSa~
4.26pm, 16/05/2011
Penang.

Mar 5, 2011

Catatan pagi buta

Satu masa dulu, aku selalu berbuat atas desakan 'mood'. Kalau datang mood untuk belajar, belajarlah. Kalau datang mood memasak, masaklah. Kalau datang mood tidur, tidurlah. Kalau datang mood menulis, maka aku pun akan menulis.

Tapi berjalan dengan waktu, menempuhi hidup yang disapa kesusahan demi kesulitan, cabaran dan rintangan.. Aku sedar, dorongan hidup harus lebih dari sekadar memenuhi mood. Ada waktunya untuk kita menongkah arus mood-mood yang bermusim. Kalau mood malas nak ibadah, kene lawan tak de mood tu. Kalau tak de mood nak belajar, kene buat jugak. Dari sanalah kita belajar untuk berkorban. Bermula dari berkorban untuk diri sendiri, seterusnya untuk orang lain dan insyaAllah, pengorbanan yang tertinggi adalah berkorban untuk Islam yang agung. Dengan ikhlas, insyaAllah.

Belajarlah untuk menundukkan mood. Belajarlah untuk menjinakkan NAFSU.

1.12 am
Selamat pagi~

Jan 12, 2011

2 tahun!

Segalanya bermula di sini..


SATU



DUA 



TIGA



EMPAT



 LIMA



ENAM



TUJUH



LAPAN



SEMBILAN



SEPULUH



SEBELAS



DUA BELAS



TIGA BELAS



EMPAT BELAS



Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong tunjukkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.



sampai kita berjumpa lagi~


Note : Photo editting sangat cincai, di celah kesibukan menjelang ujian. Doakan kajayaan saya~



AIR MATA SYAWAL


Tidak perlu tunggu bulan Syawal untuk menghayatinya. I just like it~

Oct 23, 2010

malam



Malam,
Selimuti aku dengan dingin bayumu
Inginku lena dalam gelap kelammu
Pulas atas empuk sepimu
Mencipta mimpi, sketsa demi sketsa

Malam,
Jangan biar siang bertahta
Berikan aku waktu
Menyusun sketsa, satu demi satu
Sampai saatnya
Akan ku mainkan sketsa itu di pentas realiti

JwiSa~
23 Oktober 2010

Oct 12, 2010

ONE-TWO-THREE

Hari ini ada beberapa peristiwa yang ingin dikongsikan.

ONE
Tengahari tadi dalam perjalanan menuju kantin untuk makan siang, kira-kira 100 meter di hadapan ada dua orang junior yang berjalan ke arah aku. Oh, juniorku yang sudah lama tak bertemu. Rindu. Aku melambai. Tapi kedua mereka tidak kembali membalas. Hm, diorang tak nampak kot.. Akhirnya kami bertemu di kantin & duduk di meja yang sama (atas kerusi yang berbeza, sudah tentu). 

"La, Kak Manah ke.. Kenapa makin kurus ni?"

TWO
Dalam perjalanan balik, aku singgah di koperasi. Lapar, nak cari makan yang ringan-ringan sebab malam ni tak terdaya dah rasanya nak masak. Nak call delivery food pun rasa malas. Malas nak makan nasi la sebenarnya. Niat nak beli indomee (baca : Maggi). Walaupun aku termasuk golongan orang yang jarang makan indomee, tapi aku harus akui sejak bergelar koas ni aku lebih sering makan indomee berbanding dulu. Tengah mencari lokasi indomee di koperasi, terdengar pekerja di koperasi sedang 'bergosip'.

"...sudah ditarikmi indomee..(..dah ditarik penjualan maggi..)" Aku tak tahu pucuk pangkal cerita.

"Iya, kalau di Singapur itu sudah ndak dijualmi lagiTapi kalau di sini, aduh tidak bisa.. apalagi kalau anak-anak..(Ha'a, kalau kat Singapura tu dah tak jual dah maggi. Tapi kalau kat sini, mana boleh. Apa lagi budak-budak...)"

Blurp. Baru je terpandang indomee. Tak jadi aku nak beli. Akhirnya aku keluar dengan sebungkus biskut, terpaksa akur walaupun aku kurang gemar makan biskut.

THREE
Dari koperasi, bergerak ke apartment. Berjalan perlahan sambil kepala ligat berfikir, "bila pulak aku nak melapor exam ni.."

Tiba-tiba SatPam (baca : Pak guard) RUSUN menegur, 

"Sore dok! (selamat petang, doktor!)"
"Sore pak (selamat petang..)" aku menjawab sambil tersenyum.
"Kayak capek skali saya liat.. (Macam penat je saya tengok)"

Ehehe~ aku tersenyum aje lah.. 

Kesimpulan,
Demikianlah hidup seorang bakal doktor yang penat-tak selera makan-kurus!

Note : 
-Penat pada hari-hari tertentu saja, terutama selepas on call atau 'lagi banyak kerjaan!'
-Tak selera makan pada hari-hari tertentu saja, terutama musim exam dan 'lagi stress kasiann'
-Kurus..hmm, kurus menuju BBI (berat badan ideal) xpe kan? ;)

*yang penting ikhlas & enjoy!*


Sep 11, 2010

Nostalgia

Aku sedang khusyuk menyiapkan projek kecilku. Hiruk pikuk dalam ruang yang tidak terlalu besar itu sedikitpun tidak mengganggu konsentrasi. Tidak seperti biasa, hari Jumaat minggu ini aku sangat bersemangat. Tiba-tiba ada orang memanggil.

"Maimanah, tadi ayah kamu telefon pejabat. Dia kata dia nak ambil kamu sekejap lagi. Ada emergency nak balik kampung..”

Hmm.. aku terkesima seketika. Ada apa ye.. soalan yang belum ada jawapannya. Tanpa membuang waktu aku segera menuntaskan pekerjaan yang belum selesai dan mengemas beg. Keluar menuju ke anjung, menunggu Abah.

Kereta abah melaju, menuju ke Negeri Sembilan. Jiran kami di Seremban yang juga merupakan teman baik abah telah kembali ke rahmatullah. Tujuan kami untuk menziarahi keluarga dan pusaranya.

“Abah, besok Manah ada pertandingan nasyid. Manah kene pergi la abah, tak boleh tak pergi..” Aku merungut dalam kereta. Pertandingan Nasyid antara kelas itu sangat penting untuk aku hadiri. Kami telah berlatih setiap petang di padang sekolah. Tak mungkin aku melepaskannya begitu saja. Mereka memerlukan aku.

“Ok, tak pe..nanti kita arrange macam mana..” relax Abah menjawab. Aku menarik muka. Masam. Merajuk.

Sebelah malamnya, kami menginap di rumah saudara. Membuat ‘mesyuarat kecil’ berbincang mencari penyelesaian kepada permasalahan ‘besar’ si Maimanah ni.. Akhirnya, (entah macam mana proses membuat keputusan ni, aku tak mampu ingat lagi)

“Macam ni, besok pagi Maimanah naik flight dengan Along balik Penang. Pertandingan tu pagi kan? Maimanah telefon kawan kamu, esok mintak giliran paling last supaya sempat” Abah memutuskan.

Ha? Aku tercengang. Budak darjah 4 dengan budak tingkatan 1 kena naik kapal terbang sendiri? Alah, tak kisah lah..asalkan aku dapat ikut pertandingan nanti.

Di airport, Abah mendaftarkan kami sebagai penumpang pesawat MAS (ketika itu belum ada Air  Asia) dengan pakej Young Passenger. Kami dilayani seperti VIP, diiring oleh kakak-kakak pramugari yang cantik dan seksi menuju ke bilik menunggu. Di atas pesawat pula, kami ditempatkan di tempat duduk paling hadapan dan diberi hadiah MAS yang istimewa. Seronoknya naik kapal terbang!

Sesampainya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Pak Ngah menunggu dengan van merahnya. Kami bergegas pulang ke rumah. Along carikan kain batik untuk ‘seragam nasyid’ku dan aku mengenakan ‘make-up’ seadanya. Nanti di sekolah ada juru make-up yang akan touch up lagi.

Alhamdulillah, aku sempat berada di tempat tepat pada waktu. Dewan Sekolah Rendah Seri Permai sudah dipenuhi dengan murid-murid, cikgu serta ibu bapa. Aku dan kawan-kawan membuat persiapan terakhir sebelum tampil di pentas. Bernasyidlah kami dengan penuh semangat.

Akhirnya kami dinobatkan sebagai juara Pertandingan Nasyid katagori darjah 4, dan kami turut memperoleh markah tertinggi secara keseluruhan! Alhamdulillah, berbaloi tiket MAS kami. :)

Selesai.

Note: saja nak cerita, tiba-tiba teringat :P


 
Gambar hiasan-Maimanah, Usayd & Khansa'


May 10, 2010

.:IBU:.

Mari menjadikan ibu sebagai pendidik pertama dan utama di dalam rumahtangga~

Demikianlah tema program yang aku ikuti kali ini. Meskipun berada di negara yang tidak sedang menyambut Hari Ibu pada 9 Mei, aku tetap merasakan suasana ‘hari ibu’ itu ketika berada di sini.

Alhamdulillah, pada hari penuh makna ini aku berkesempatan menghadiri program kewanitaan, Acara Silaturrahim bersama Bapak Jafar Sodding (Ustaz) dan Bapak Asriady Samad, yang kedua-duanya merupakan wakil rakyat di Sulawesi Selatan dan Kota Makassar dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Selain berfungsi sebagai majlis ta’lim umum, acara ini juga digunakan untuk memberi peluang kepada rakyat yang diwakili untuk mengajukan sebarang aduan ataupun masalah yang dihadapi.

Aku tidak hadir sebagai rakyat Indonesia yang diwakili tokoh masyarakat ini, dan aku juga tidak hadir sebagai ibu atau wanita yang bergelar ibu. Justeru aku menghadam setiap penyampaian ustaz dari sudut pandang seorang anak, serta sebagai seorang yang bakal bergelar ibu.

Dalam penyampaian ta’lim, Ustaz Jafar Sodding menekankan pentingnya peranan para ibu dalam pendidikan anak-anak. Beliau menyatakan bahawa 80% dari pendidikan anak terletak pada 5 tahun pertama kehidupannya dan pada fasa ini, anak didominasi oleh si ibu. Malah, ayah kepada Imam Syafi’e menyatakan bahawa pendidikan anak-anak itu bermula 25 tahun sebelum kelahirannya. Pendidikan yang dimaksudkan adalah bagaimana si ibu dan si ayah yang pada ketika itu belum pun bertemu apalagi berkahwin menyiapkan diri menjadi lelaki/wanita yang baik, seterusnya memilih pasangan hidup yang baik berdasarkan landasan Islam (pembahasan tentang ini dah masuk topik lain).


Menurut beliau, ada 3 peranan utama wanita yang bergelar ibu yang tidak dimiliki oleh ayah.

1. Hamil

Kehamilan adalah proses pendidikan yang pertama bagi sang anak. Selama 9 bulan dalam kandungan, si anak menjadi sebahagian dari diri si ibu. Dia makan apa yang si ibu makan. Dia dengar semua yang si ibu bicarakan, bacakan dan dengarkan. Oleh sebab itu ibu yang sedang hamil dinasihatkan banyak melakukan amal-amal kebajikan serta perkara-perkara yang dapat merangsang pertumbuhan anak yang sihat. Makan makanan yang berkhasiat. Ada juga pendapat atau kepercayaan, kalau mahu anak yang cantik dan handsome banyak amalkan surah Yusuf (wallahu’alam). Kalau ada yang pernah membaca tentang rahsia kecerdasan orang-orang Yahudi Laknatullah, para ibu-ibu Yahudi yang hamil banyak mengkonsumsi omega sebagai supplement tambahan, melakukan latihan/soalan-soalan matematik, mendengar lagu puji-pujian dan sebagainya.

Di sinilah pentingnya peranan seorang ibu, pendidikan anak-anak telah bermula di dalam perut mereka...


2. Melahirkan

Satu lagi peranan ibu yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh sang ayah (Lain persoalannya pada modifikasi biologi yang dilakukan oleh orang Barat sehingga seorang lelaki dapat hamil & melahirkan..sangat2 melanggar sunnatullah!!). Pada proses persalinan itu, si ibu berada di antara hidup dan mati. Bertanyalah kepada ibu-ibu kalian bagaimana sakitnya melahirkan. Seorang ibu pernah berkata kepada saya, “Macam nak mati dah rasanya...”. Tapi hebatnya ibu, sakit yang sebegitu pun mereka tetap menyayangi anak-anak dan sanggup untuk hamil serta melahirkan sekali lagi..dan lagi..dan lagi..

Aku ingat betul ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Badrul Amin satu masa dulu. Beliau menceritakan pengalamannya mendampingi si isteri melahirkan anak untuknya. Melihat betapa susah dan peritnya proses persalinan itu, beliau menjadi sedar dan nekad untuk tidak pernah memarahi hatta meninggikan suara terhadap isterinya. Perjuangan si ibu itu sangat luar biasa, yang hanya mampu ditanggung oleh mereka..subhanallah!

(Aku pernah melihat proses persalinan secara ‘live’ di hospital. Betapa tingginya daya juang seorang ibu demi kehidupan seorang anak.. Sesakit mana pun mereka sanggup hadapi demi anak yang tercinta..wahai anak-anak di luar sana, hargailah ibu-ibu kamu)

3. Menyusui

Ini merupakan satu lagi proses pendidikan yang luar biasa. Menyusui bukanlah semata-mata ‘eating time’ utk si bayi. Ketika menyusui, ibu mengalirkan sepenuh kasih sayangnya melalui tatapan mata, dakapan yang cukup hangat dan belaian yang sangat lembut. Belum lagi terhitung seberapa besar khasiat dari susu ibu. Sungguh, detik-detik itu sangat bererti dalam sebuah kehidupan!

Kenapa pentingnya pendidikan pertama anak-anak?

Menjawab pertanyaan ini boleh dianalogikan seperti seperti tasbih, atau rantai manik. Untuk menghasilkan seutas rantai manik yang cantik, kita memerlukan biji-biji manik yang bagus dengan warna-warna yang sesuai. Ukuran yang sesuai. Dari beberapa jenis butir manik tadi, kita perlu menyusun dengan urutan-urutan tertentu agar menghasilkan kombinasi yang cantik. Barulah nanti ianya wujud sebagai seutas rantai yang cantik. Apakah akan terjadi kalau biji-biji manik yang digunakan tidak sempurna sifatnya? Pasti rantai yang dihasilkan tidak terlalu sempurna, atau lebih mudah..cacat.

Demikianlah juga anak-anak ini. Si kecil yang keluar dari perut ibu-ibu itu nantinya akan tumbuh membesar membentuk keluarganya sendiri. Seterusnya dari keluarga-keluarga ini membentuk sebuah masyarakat yang akhirnya membentuk negara malah dunia! Alangkah ruginya andai anak-anak yang kecil tadi tidak dididik dari awal, tidak dihias dengan akhlaq yang baik, tidak ditanam dengan benih spiritual yang kuat.

Demikianlah pentingnya peranan para ibu, tangan-tanganmu mampu mengubah dunia!

Kisah :

Pada suatu hari, Rasulullah sedang menggendong seorang bayi. Tiba-tiba, si bayi kencing dan membasahi jubah Nabi. (Almaklum, zaman dulu mane ada pampers. Baby tu pun bukannye tau siapa yang tengah dukung dia. Dia nak kencing, kencing je lah!). Si ibu kepada bayi ni menjadi marah sebab anaknya mengencingi Nabi. Lalu dia menarik si bayi dengan kasar dari tangan Rasulullah. Nabi kemudiannya berkata, “Wahai si ibu, kencing anakmu yang membasahi jubahku boleh dibersihkan hanya dengan sekali bilas. Tapi perlakuan ibu yang kasar terhadap bayimu itu tidak mudah dihapuskan”

Pengajarannya, perlakuan ibu merupakan salah satu bentuk pendidikan terhadap anak-anak. Malah anak-anak lebih mudah menerima/mencerna/mencontohi perbuatan orang tua berbanding nasihat-nasihat yang disampaikan. Hati-hati dengan perlakuanmu terhadap anak mahupun di hadapan anak.

Dalam penyampaian ta'limnya, Ustaz Jafar turut mengingatkan :

- Peranan suami/lelaki dalam mendukung para ibu/wanita dalam melaksanakan pendidikan yang sempurna. Para bapa berperan penting dalam menetukan perjalanan si anak.

- Solusi paling tepat dalam mendidik anak adalah pendidikan yang sesuai dengan agama. Islam bukan sekadar agama yang menyentuh aspek akhirat dan ketuhanan, tapi ia adalah sebuah tatacara kehidupan yang sangat lengkap.

- Selain berusaha, DOA seorang ibu sangat didengari oleh Allah. Jangan pernah lelah memohon kebaikan dariNya. Allah tidak pernah jemu mendengar permintaan hamba-hambaNya, malah lebih sayang pada mereka yang sering mengingatiNya.

- Dalam mendidik anak-anak, persiapkanlah mereka untuk menghadapi dunia yang tidak sama dengan zaman sekarang.

Wallahu’alam




suasana program


kasih ibu - suasana di ruang menunggu Klinik Keluarga UNHAS

Kucing pun sayang anak..

Note :


1. Kagum dengan pelaksanaan majlis ni. Dihadiri oleh dua orang wakil rakyat, tetapi majlis cukup sederhana. Kalau di Malaysia, aku sifatkan suasana majlis ni seperti suasana di pertemuan tahunan PIBG sekolah. Sangat simple. Dua orang pemimpin di hadapan itu juga sangat low profile. Like it~

2. Rasa macam sedang mengikuti kelas tarbiyatul aulad pun ade! (hehe)

3. Aku rindu mak. Bertambah sayang dan bertambah rindu. Pengorbanan mak sangat-sangat besar buat aku. Terima kasih mak, hanya Allah yang mampu membalasnya.

4. Perasaan bercampur baur mengenangkan aku sebagai seorang wanita yang bakal bergelar ibu. Ibu berkerjaya!

Apr 17, 2010

Gossip bakal doktor

Sebuah sketsa realiti yang diubahsuai. Nama dan watak adalah rekaan semata-mata. Harap maklum.


Lokasi : Dalam pete-pete menuju ke Mall Panakkukang

Kay : Rindunye kat korang..lama kite tak keluar skali ek.

Mie : A’a la..rasanya last time kite keluar sama masa dinner sambut birthday Fir dulu. Lame gile kot, lebih 3 bulan!

Nor : Aku dgn Mie selalu je sama-sama. Ko la Kay..masuk bagian lain-lain.

Kay : Biase la tu. Dah koas ni susah la sikit..aku free, korang lak sibuk. Aku sibuk korang free..

Nor : Tak pe, kejap je lg nak habis ni..tengok senior2 kite cepat je. Kite ni pun, tak terasa nnt tetibe dah habis.

Mie : InsyaAllah...

Kay : Korang sempat ke wisuda Disember?

Mie : Hm, kalau ikut sempat kot. Tapi aku tak nak berharap sangat. Kalau sempat, sempat la..kalau tak, Mac pun ok.

Nor : A’ah, nnt punye la nk kejar tetibe tak dapat. Frust den~

Kay : Hehe..ok la tu. Tak jauh beza pun dgn kitorang..

Nor : Eh, nanti korang nak apply hospital mana? Aku pun dok pening fikir ni..

Mie : Aku x kisah memane, asalkan ade member. Tak nak la sorang2..Kalau diikutkan, aku dengan Sue bole la nak apply skali kot, rumah pun dekat. Tapi, cik Sue kite tu mesti nak kawen dulu..tinggal la aku sengsorang..huhu

Nor : Ala, ko dgn aku la..xde la jauh sgt Johor dengan Melaka kan :)

Kay : Hmm..kalau boleh aku nak apply hospital yang dekat dengan rumah. Asyik duduk jauh je. Dari sekolah, duduk asrama. Time keje ni nak dok dgn family pulak laa. Lagipun aku kan anak bongsu. Abang kakak aku sume dok jauh..

Mie : Hm, memang la. Kalau boleh mmg nak dekat family. Tapi hospital area aku ni susah sket la..senior-senior cakap doktor kat sane macam pandang rendah sikit la kat student grad Indonesia. Cuak la sket..

Nor : Ha, tu lagi satu aku risau. Dah la english kite kt sini hancur.. Aku selalu terfikir cemane nanti doktor tak reti speaking. Adei, kan malu..

Kay : Setakat english biase tu xpe lagi. Ni medical term sume english. Ternganga laaa..

Mie : Memang tu la cabaran kite. Tapi senior2 kite ok je..mula-mula memang la cam blur sket. Biasa la tu, baru kan. Tapi macam Kak Yatt pesan hari tu, kite buat pede (confident) je..then kalau x tau, tanya. Jangan buat2 tau. Tanya pi la lat nurse ke, sape2 kt situ..daripada kite buat salah..

Kay : A’a..insyaAllah, everything will be fine. Just try our best~

Nor : Eh, kite turun kat sini kan? Tu ade beca..

Kay : Kiri pak!

-The End-

Jan 3, 2010

Duhai kasih:.

Kasih dan cinta tidak memerlukan batasan waktu tertentu untuk dizahirkan
Namun kehangatannya kadang lebih terasa pada hari-hari yang istimewa
Duhai kasih, izinkan aku menyentuh hatimu dengan kuntuman rinduku~

Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran


Khansa'
31 Disember 1988


Abah
2 Januari 1960



Aku sayang, kasih & rindu kalian~~


Dec 6, 2009

turun naik

turun dan naik akan membawa anda ke bawah dan ke atas
jika anda berada di atas, hati-hati jangan sampai anda terjatuh ke bawah
jika anda berada di bawah, carilah jalan untuk kembali berada di atas

aku kini berada di bawah
sesiapa boleh tolong bawa aku ke atas?

JwiSa~
11.41pm, 6 Disember 2009

Sep 15, 2009

Puisi Kenang-Kenangan

Aku tak pandai menulis puisi. Aku hanya pandai berpuisi.
Alhamdulillah, ada insan yang sudi mencipta puisi indah untuk aku deklamasikan sehingga ke peringkat kebangsaan.
Naib Johan Puisidra Sains Kebangsaan 2000
Terima kasih, Pn Hjh Siti Rohah atas kepercayaan yang diberikan. Kenangan ini sungguh indah!



Di Sebalik Rahsiamu..Atom
IzinNya,
Seni dalam keindahan
Sekecil atom ternukil kisah
Jirim membusana empat unsur..
Tanah… api… udara… air bermula segalanya
Yaasin mengungkap citra sistem solar
6 takah 7 petala langit terbentang
Tersusun indah di langit nirmala
Tertib tunduk planet tanpa celaka
Mengungkap benar teori Atom Dalton…
Atom bersfera seni dan pejal menciri jirim
Membuka lembaran kajian tanpa ujung…

Hadirmu..
Sinar katod membukti diri zarah bercas negatif
Elektron memercik jasa
Melahir insan madani
1000 tahun mengorak langkah pertama
Memancar kemilau Al-Hambra seharum Andalusia
Sedangkan..
Gelap jahil masih memayungi bumi Eropah..
Namun.. apabila inkuiri menyapa
Atom diburu dalam kemaruk Renaissance
Sumber tenaga segenap maya

Kazanah atom terhimpun
Jadual berkala membisik sifat diri
Bagaikan insan ketemu cinta
Proton bercas positif menarik sayang kekumin neutron
Dek jalinan kasih.. nukleus terlahir
Elektron bagaikan juara antara bitara
Bergerak pantas memacu tenaga mengelilingi nukleus di petala sana
Laksana planet mengelilingi mentari
Kata Einstein..
“Paduan jisim, rembatan cahaya tenaga terhasil”

Kiranya..
Kering emas hitam di perut lautmu
Kiranya..
Bitumin ghaib dek berinsutnya masa..
Atom meluru di sisi merisik bantu..
Menghulur salam pecahan nekleus
Lautan pasti berbusa diredah megahnya bahtera
Meniup bisikan di mana-mana..
Jambatan alaf terentang antara benua
Dihubung kasih digital maya siber

Di orbit sana
Galaksi gelisah dijeling atom lakuran nukleus
Pastinya..terpana siBima Sakti
Melihat Marikh dalam genggaman..
Reaktor tenaga..
Memuntah nuklear dalam hambatan paradigma
Terpancarlah sinar cahaya
Helium menitip budi di sebalik gas adi..
Reaktor nukleus melampias haba menitis wap
Menggerak janakuasa membias kemilau neon
Bagaikan nur penyuluh alam

Keajaibanmu Kobalt..
Merenjis penawar duka
Tabib dan doktor menadah syukur
Kanser durjana diamuk resah
Diunjam musnah dek Radium radioaktif
Curie membakar diri..mencari formula
Akhirnya..
Pawaka sel dijirus sirna
Organisma barah berkulai sendu merela satu kehidupan
Buatmu homo sapien..

Kini
Terjawab sudah bila dan di mana?
Disingkap pengesan radioaktif
Karbon 14 membisik rahsia asal bermula
Pra sejarah cermin hari ini..
Tindak balas kimia hayat bukan lagi arbitrari..
Khabarkanlah..
Di sebalik citra seninya atom
Satu Terrarium membukti keesaan Maha Khaliq

Dirimu..
Bagaikan pawana berpuput lembut
Sesekali mengirim badai
Menyentak cendekia dek hipotesis dan teori
Seumpama kejutan Quark menciri jirim
Apakah itu benar?
Hanya masa menentukan…


credit to OUR TEAM :)

Dari kiri : Suhaimi & Arif (pelakon), Maimanah (pendeklamasi), Fazlin (PA pendeklamasi :P)
Pn. Koh Mui Hong, En Harris Ganae, Pn Hjh Siti Rohah, En Wazaruddin, Pn Noorsalawati
(dan ramai lagi....)

Aug 21, 2009

.:TingTong:.


.:TingTong:.
Setiap detik terus berlalu
Pejam celik jantung terus berpalu
Darah mengalir laju
Tak berhenti, terus melaju

Usia merangkak, berjalan dan berlari
Sedang dua kaki ini tetap berdiri
Sungguh, usia ini cukup sukar dimengerti
Teka teki di sana sini
Apa kan terjadi nanti
Yang jelas, siap-siaplah menghadapi

Perjalanan masih panjang
Syukurlah, hari ini masih petang
Manfaatkanlah, kesempatan tidak akan berulang
Kejarlah, yang pipih tidak datang melayang
Belajarlah, agar usia ini membuatmu semakin matang

RedhaNya yang ku kejar
SyurgaMu yang ku damba
AmpunanMu yang ku harap

Semoga aku tetap berdiri
Walau jatuh berdiri lagi!

Terima kasih buat semua atas ingatan dan doanya

JwiSa~

*baca juga INI dan INI*

Jul 28, 2009

Rasakan sendiri la..

Petang ini aku telah menjelajah ke merata-rata blog yang sempat aku capai. Setelah 2 minggu ‘terperap’ di Rumah Sakit Faisal, sengaja aku luangkan masa untuk kembali melihat dunia.

Terjumpa petikan ini dari sini, satu soal jawab yang aku rasanya cukup layak dan patut dibaca oleh mereka yang berkenaan.

SOALAN
“Assalamualaikum ustaz.
Saya sudah membaca buku ustaz, Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga. Terima kasih atas buah tangan ustaz yang banyak membantu saya menempuh kehidupan. Teruskan menulis.

Saya ada satu masalah peribadi yang sangat rumit, dan saya memerlukan pandangan daripada ustaz.

Saya sudah bertunang semenjak setahun yang lalu. Tunang saya adalah seorang lelaki yang baik. Tetapi kami tidak pernah berjumpa dalam erti kata keluar makan atau bersiar bersama-sama. Hanya sesekali berhubung dengan telefon dan sms. Saya di Kuala Lumpur dan beliau bekerja jauh di seberang.

Masalah peribadi yang saya maksudkan ialah, saya jatuh hati dengan seorang jejaka di tempat kerja saya, dan beliau pula ada suami orang. Kami sering bertemu di tempat kerja, dan urusan kerja seharian rupa-rupanya tanpa sedar membibitkan percintaan di antara kami. Saya tahu yang beliau suami orang dan beliau juga tahu yang saya sudah bertunang. Tetapi kami tidak dapat membohongi diri masing-masing tentang perasaan ini.

Saya khuatir perbuatan saya ini menzalimi tunang saya dan isteri jejaka tersebut.

Saya sudah puas bersolat hajat meminta petunjuk dari Allah, membaca al-Quran dan berdoa, tetapi saya masih belum mempunyai kekuatan untuk menolak cinta ini.

Saya memerlukan satu nasihat yang tegas dan kuat dari ustaz. Mudah-mudahan dengan nasihat itu saya bertemu dengan kekuatan yang tidak saya temui selama ini.

Terima kasih atas kesudian membaca email saya. Harap ada balasan daripada pihak ustaz. Saya setia menanti.

Wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Gadis KL”

JAWAPAN

Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakaatuh.
Terima kasih atas kiriman email saudari. Terima kasih juga kerana membeli dan membaca buku saya.

Sesungguhnya segala yang perlu diperkatakan, telah saya perkatakan di dalam kedua-dua buku yang saudari baca. Justeru jika saudari masih memerlukan satu nasihat lain yang lebih tegas dan kuat dari saya, hanya yang satu ini sahaja yang belum saya nukilkan.

Ambillah lilin, nyalakan ia dan letakkan satu daripada sepuluh jari saudari di api lilin itu. Hitunglah berapa saat saudari mampu bertahan akan kepanasan api lilin yang membakar dan menghanguskan satu daripada sembilan jari saudari.

Jika saudari melepasi proses pertama ini, letakkanlah pula jari kedua hingga ke jari yang ke sepuluh.

Rasalah sendiri panasnya api.

Sesungguhnya kepanasan api lilin itu, hanyalah secebis daripada kepanasan api Neraka dan Murka Allah yang menanti manusia yang menzalimi manusia yang lain.

Dan salah satu komen terhadap entri ini :

Jawapan yang ustaz beri,bukan hanya untuk Gadis KL sahaja,ttp untuk semua yang tak pandai menjaga maruahnya dan tak tahu mengendali diri sendiri,walau pun dah tahu yang dibuat itu salah tetapi masih lagi ingin meletakkan diri didalam kebinasaan .Kenapalah membiarkan Syaitan menunggang diri mereka?Jadi lepaskanlah nafsu itu dan terimalah jawapan ustaz seadanya,kerana ISLAM itu selamat didunia dan akhirat.

Dah tau salah, tapi tetap buat. Kenapa? Bukan korang lemah tak kuat nak lawan nafsu, tapi korang sengaja membiarkan diri kalah dengan nafsu. Hei, wake up lah!

Agak emosi. Baru tengok maksiat depan mata beberapa hari lalu. Astaghfirullah..

Jul 21, 2009

Dok & Dek

Situasi 1
Dek : Ass Dok. Maaf mengganggu. Ada pasien baru di perawatan 3, atas nama Rusly dgn Suspek Demam Tifoid.
Dok : Ok dek. Terima dulu. Nanti saya ke sana.

Situasi 2
Dek : Dok, pasien di ICU atas nama Idris dgn DM, HbA1C 6, GDS terakhir 55. Penurunan kesadaran. Terpasang infus Dextrose 10%, chor
Dok : Kasi masuk dulu Dextrose 40% bolus, dan dextrose 10% drips.
Dek : Pasien sudah mulai sadar dok, tapi masih lemah.
Dok : ok dek, saya lagi ke sana.

Situasi 3
Dok : Dek, brapa tensinya Dg Lara’ tadi? Coba ditensi lagi. Kalau sudah baik atur mi cairannya 24 tpm ya.
Dek : Sudah dok saya tensi, masih 80/60. Tetap di chor dok?
Dok : Iya dek. Follow up per 30 menit dek na.
Dek : Ok dok! :(

Situasi 4
Dok : Dek, kamu di mana?
Dek : Saya lagi di jalan dok.
Dok : Saya tunggu di meja perawat. Cepat dek, sebentar Prof datang.
Dek : Ok dok..

Bila Dok nak tenter Dek ni? Tak pe Dok, nnt Dek tanya banyak2..! :D


Note:
Tenter = Mengajar

Jul 15, 2009

*polaroid*

“Polaroid ape cite? Bila lagi nak kluar?”

Sebuah pertanyaan yang sering kali aku terima sejak beberapa bulan ini. Memang kami menjanjikan POLAROID sekitar awal tahun 2009 yang lalu, namun sampai sekarang pun masih belum nampak bayangnya.
POLAROID sulung

POLAROID-majalah rasmi PKPMI seIndonesia dihasilkan sebagai medium komunikasi seluruh ahli PKPMI secara umumnya. Tapi apalah sangat majalah 2 edisi ini mampu lakukan. Tidak banyak. Namun tetap setidaknya ia memberi informasi yang harus diketahui oleh para ahli.

Perjalanan POLAROID tidak mudah. Dari NOL. Dari titik terendah ini kami membina sidang editorial. Membentuk konsep. Memberi nama-POLAROID-sebagai simbol; capture the moment. Menyebar jaringan ke seluruh Indonesia untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat dari seluruh cawangan PKPMI. Berkomunikasi dan bekerja bersama, meskipun kami tidak pernah mengenali apalagi bertemu antara satu dengan yang lain. Dan yang semakin membuatnya ‘tidak mudah’ adalah keterbatasan waktu, sarana dan dana. Kami mahasiswa yang dituntut untuk belajar, dan kami pelajar yang tidak punya gaji untuk menggerakkan semua ini. Namun momentum komitmen dan tanggungjawab menjadikan segala ‘tidak mudah’ ini menjadi sesuatu yang dapat dibanggakan.

Tidak mudah, tapi aku suka. Puas dapat menghasilkan sesuatu dengan tangan sendiri. Puas dapat menjelmakan imaginasi menjadi realiti. Sudah tentu, sebelum menghasilkan sesuatu perlu ada imaginasi. Membayangkan ia begini dan begitu, dan dengan bayangan ini aku berusaha menjadikannya nyata. Akan terdapat beberapa modifikasi dan adjustment dari apa yang telah dibayangkan tadi, dan perlu disesuaikan dengan idea / objektif asal sesuatu karya tersebut. Hmm..
khusyuknye?

Kembali ke cerita asal. Bila POLAROID nak keluar ni?

POLAROID kedua direncanakan pada bulan Mac 2009 yang lalu, sempena perhimpunan Kongres Tahunan PKPMI Pusat. Kami telahpun menyiapkan soft copy sesuai dengan time-line yang dirancang. Namun inilah salah satu ‘tidak mudahnya’ POLAROID apabila terpaksa berdepan dengan beberapa masalah yang lebih kompleks. Kongres PKPMI terpaksa ditunda beberapa kali atas beberapa sebab, sekaligus mengheret kepada tertundanya POLAROID edisi kedua. Kedua dan terakhir bagi sesi ini.

Alhamdulillah, edisi kedua POLAROID sudah siap dicetak. Hanya menunggu hari - Kongress Tahunan PKPMI Pusat di Jakarta pada 15 & 16 Ogos 2009.
bakal menemui anda-ahli PKPMI

Masa depan POLAROID selanjutnya? Ini POLAROID kedua dan terakhir. Terakhir bagi sesi ini. Tentang masa depan POLAROID selanjutnya, akan diserahkan kepada pimpinan PKPMI Pusat akan datang. Apakah masih akan wujud pos Exco Penerbitan yang akan mengendalikan POLAROID atau tidak. Ia sebuah pilihan, bukan mandatori untuk dilaksanakan.

Buat team PKPMI Pusat 08/09 dan sahabat-sahabat PolaCrew seluruh Indonesia, setinggi penghargaan buat kalian atas segala kerjasama yang telah diberikan. Tanpa komitmen yang kalian tunjukkan, kedua edisi POLAROID ini tidak akan pernah wujud. Mohon maaf andai ada kecacatan pada karya yang tidak seberapa ini. Hanya inilah yang dapat disajikan buat semua~semoga bermanfaat!

Catatan peribadi Sang Editor~JwiSa

Jun 29, 2009

Gerabak Interna [1]

Bismillah..

Dah lama rupanya teratak ni tak ‘terhias’ dengan artikel/post yang panjang. Cebisan-cebisan waktu yang ada hanya sempat diisi dengan beberapa post pendek. Baiklah~~ insyaAllah kali ni kalian akan ‘menikmati’ artikel panjang dari BondingSisters [panjang pendek tak penting pun kan, asal ada manfaatnya :)~]

Alhamdulillah, sudah seminggu aku ‘bergelut’ di bagian Ilmu Penyakit Dalam. Bagian yang cover hampir semua penyakit. Minggu awalnya cukup padat. Hanya 38 jam bebas dari tugas di hospital, sepanjang 168 jam pada minggu pertama di sini. Penat, memang penat. Tapi berbaloi. Banyak pengalaman, biar baru satu minggu..
Sibuk ya?
Pengalaman I

Setiap pagi aku bersua dengan orang-orang yang terlantar di katil. Di tangan mereka terpasang infus. Muka pucat. Sebahagiannya kurus. Wajah lesu. Pesakit-pesakit dibawah tanggungjawabku kebanyakannya menderita penyakit ginjal. Ada batu di ginjal mereka, menyebabkan fungsi organ penting tersebut terganggu. Ginjal tidak mampu membersihkan darah dengan sempurna. Sebahagiannya perlu menjalani hemodialisis (cuci darah) secara rutin, 2 hingga 3 kali seminggu.

Setiap hari, tangan-tangan mereka aku ‘belai’ dengan sphygmomanometer (alat pengukur tekanan darah) dan termometer digital kuningku.

“Brapa dok tensiku...?” lemah suara Pak R. Janggut dan misainya yang tidak terurus membuatkan dia kelihatan lebih tua dari usianya. Dah agak, dia mesti tanya soalan tu..

“Hmm..masih 80 pak..” berat, tapi aku perlu menjawab pertanyaannya. Aku tetap menunduk, pura-pura memeriksa tubuh longlai itu. Tak tegar aku melihat wajahnya yang semakin mencuka. Adiknya juga.

“Dok, begini dok ya.. kami ini datang dari jauh. Dari Ambon. Sudah lama juga kami di sini. Mintak tolong dok ya, supaya cepat...” Si adik pula bersuara, mendekat ke arahku yang masih memeriksa abangnya.

“Iya pak, saya mengerti. Kami juga sudah usaha bagaimana supaya naik tekanan darahnya. Sudah dikasi masuk cairan...mudah-mudahan sebentar siang naik tensinya..”

Pesakitku yang satu ini menghidap Chronic Kidney Disease stage V. Kedua ginjalnya sudah rosak akibat tumpukan batu yang besar. Kencingnya juga terasa sakit gara-gara batu yang turut menyempitkan saluran keluar tersebut. Beliau perlu di hemodialisis. Tapi malangnya, tindakan ini tertunda hampir seminggu kerana tekanan darahnya yang rendah. Hemodialisis hanya boleh dilakukan jika tekanan darah sistole melebihi 100mmHg. Sabarlah, saudaraku!

Tidakkah apa yang dihadapkan padumu ini menjadikan kamu lebih bersyukur? Bersyukurlah dengan nikmat kesihatan yang masih menjadi milikmu..!
Pengalaman II

“Kak, ada statusnya Pak A? Mau disuntik lantusnya dulu...” Malam itu aku ke Lontara 2 (bahagian Bedah) untuk menyuntik insulin pada pesakit kencing manis di situ.

Manusia memerlukan glukosa sebagai salah satu sumber tenaga bagi tubuh. Glukosa yang diperoleh dari makanan akan diproses dan dibawa masuk ke dalam sel-sel oleh sistem pengangkutan yang cukup kompleks dan unik. Ada di situ namanya hormon insulin, yang menggerakkan sistem pengangkutan tersebut. Namun hormon penting ini ‘mogok’ pada pesakit-pesakit kencing manis (Diabetes Mellitus, DM). Tubuh mereka tidak mampu menghasilkannya bagi tujuan tersebut. Akibatnya, glukosa akan menumpuk di dalam darah dan memberikan dampak yang negatif pada tubuh. Sebagai penanganannya, mereka diberikan bantuan insulin dari luar agar hormon ini kemudiannya dapat mengangkut glukosa masuk ke sel-sel tubuh.

Disebabkan pesakit DM ini memerlukan insulin sepanjang hidupnya, mereka diajarkan supaya mampu menyuntiknya sendiri setiap kali sebelum makan. Kini terdapat alat suntikan insulin berbentuk pen, yang mudah di pakai. Alat inilah yang kami pakai di sini untuk menyuntik pesakit-pesakit DM setiap hari.
NovoPen. Insulin berbentuk pen. Hanya suntik!

“Tadi pagi kenapa Pak A tidak disuntik, dik?” Senior itu kembali bertanya kepadaku.

“Gula darahnya tidak terkontrol, dik.. Minta tolong dik ya, diperhatikan ini. Jangan sampai terlewatkan..” Jelas beliau tanpa sempat aku berkata apa-apa. Entah, mungkin coass yang ditugaskan pagi tadi terlupa, atau sengaja melupakan?

Memang betul, kadang sebuah rutin/kebiasaan menghakis makna dari perbuatan tersebut. Sudah terlalu biasa menyuntik pesakit-pesakit, membuatkan pekerjaan tersebut kelihatan amat mudah dan mula di anggap remeh. Sedangkan, 0.8 ml insulin yang meresapi ke tubuh setiap pesakit itu amat bermakna dalam kehidupan mereka. Semoga aku terhindar dari kealpaan tersebut.


Pengalaman III

Kamar coass adalah tempat kami ‘bersantai-santai’ di saat bertugas di hospital. Kalau ada keluhan dari pesakit ataupun pesakit baru, jururawat akan datang memaklumkan. Demi kenyamanan, bilik tersebut dilengkapi dengan air-cond dan TV.

Satu hari aku dan teman-teman berkesempatan menonton TV, yang kebetulan sedang menyiarkan Debat Calon Presiden (Debat Capres) yang melibatkan ketiga-tiga calon Presiden Indonesia – Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), Jusuf Kala (JK) dan Megawati Soekarnoputri. Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia semakin hampir, dan suasana semakin hangat.

Debat tersebut memberi ruang kepada ketiga-tiga calon Presiden itu untuk mengemukakan pendapat masing-masing tentang persoalan negara dan rakyat yang diajukan. Seluruh rakyat yang bakal memilih pula dapat menilai sendiri sejauh mana kredibiliti, kapasiti dan ideologi para pemimpin mereka. Setiap dari tokoh tersebut diberi waktu (1 minit 30 saat kalau tak salah) untuk mengemukakan hujah dan pendapat masing-masing. Debat seperti ini bukan saja dilakukan untuk pemilihan presiden, tetapi juga pada pemilihan-pemilihan lainnya. Biar ada 10 atau 20 partai yang bertanding, semua mereka diberi kesempatan yang sama. Tidak ada yang lebih, tidak ada yang kurang.
Seru benget!

Inilah demokrasi cara mereka. Tidak ada yang memonopoli media. Iklan-iklan yang mempormosi ketiga calon ini ditayangkan dengan sama rata. Ada iklan SBY dengan slogan ‘lanjutkan..!’, ada iklan JK dengan slogan ‘lebih cepat lebih baik..!’, dan ada juga iklan Mega [ade slogan ke?]. Bagus kan?

Bila pulak Malaysia nak buat debat macam ni?
--------
Alhamdulillah. Inilah beberapa pengalaman yang aku alami dalam seminggu di Interna. InsyaAllah gerabak waktu akan bergerak lagi, membawa aku melalui dan meneroka ilmu Allah yang Maha Luas ini. Semoga perjalanan ini dimudahkan!

Jun 25, 2009

aku ingat..



Setiap aku merasa penat, lesu dan tidak bersemangat,
Aku ingat,
Mak di sana juga sedang kepenatan - malah sibuk dan penatnya jauh lebih berat dari apa yang sedang aku lalui..
Tapi mak terus bergerak, jauh sekali berkeluh kesah..

Setiap aku merasa lemah, tidak berdaya dan putus asa,
Aku ingat,
Abah di sana juga sedang kelelahan - malah bebanan dan tanggungannya lebih banyak dari apa yang sedang aku hadapi..
Tapi abah terus bergerak, jauh sekali berpatah arah..

Setiap aku merasa ingin berhenti,
Aku ingat,
Mak & Abah di sana terus bergerak dan bergerak..
Maka aku juga harus tetap bergerak!

Jwisa~
24/6/09; 11.45 pm
Lontara 1
Rumah Sakit Wahidin Sudirohusodo
Makassar