Hari itu hari yang sangat menggembirakan. Walaupun tidak ada brain-pacemaker yang merangsang kegembiraan ini, aktivasi saraf simpatis benar-benar terjadi. Ia mendominasi kekuatan lawannya. Amygdala & hippocampus juga pasti sedang giat bekerja mempertahankan perasaan girang ini. Seluruh sistem tubuhku meraikannya. Otot-otot & tendon tangkas beraktiviti. Bergerak ke sana ke mari. Saraf-saraf wajah (facial nerve) tidak ketinggalan mengukir senyum di wajahku. Jiwa terasa lapang, segala beban yang terawang-awang di fikiran pecah berkecai. Aku berjalan senang, menelusuri lorong-lorong kehidupan. Kegembiraan membawa aku jauh ke dalam dunia sendiri, tidak merasakn bahang mentari yang membakar. Tidak juga terhidu kepulan-kepulan asap yang memenuhi ruang udara di kota batu ini.
Tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang agak kuat dari arah belakang. Mengejutkan aku dari alam gembiraku. Serentak dengan itu, aku terhumban ke depan. Jatuh. Terasa sakit di bahu kananku. Sakitnya bukan kepalang, lebih sakit dari sakit yang dirasakan akibat jatuh. Jauh lebih sakit. Tangan kiriku refleks memegang bahagian yang terasa sakit. Sementara tangan kananku seperti kehilangan keupayaan motoriknya, tidak mampu berbuat apa selain merasakan sakit. Tangan kiriku kini basah, merah. Bukan eritem akibat dilatasi salur darah. Tapi merah secara fizikal, merah yang benar-benar merah. Merah, gelap, pekat. Merah kerana darah. Mencurah-curah.
Aku menoleh ke belakang. Dalam kesakitan, inkuiri tetap mampu memerintahkan segenap sistem tubuh untuk bereaksi. Ingin melihat sendiri sumber bunyi letupan tadi, dan kenapa sampai ia membuatkan aku sakit, mungkin merobek otot pectoralis major kananku malah melumpuhkan lalulintas plexsus brachialis di dalamnya.
Retina cepat menangkap sorotan-sorotan cahaya yang masuk melalui pupil kedua bola mataku. Satu imej terhasil dari proses interpretasi yang kompleks dan sangat cepat (lebih cepat dari kerdipan mata). Amygdalaku kembali bekerja. Kali ini untuk membuka simpanan-simpanan memori yang tersimpan kemas dalam kamar tak berpintu. Oh, imej itu adalah sosok seseorang yang sangat aku kenal. Berdiri 300 meter di hadapanku, sedang tangan kirinya menggenggam erat sepucuk pistol FR-Sport hitam. Ketahuilah aku, bahawa bunyi letupan itu adalah bunyi muntahan dari senjata tersebut dan malangnya, muntahannya ‘terpalit’ menembusi lobus superior paru-paru kananku. Sesak, pandangan kabur. Gelap. Pengsan, koma.
* * *
Kini aku nampak cahaya. Lebih 4 bulan aku tidak melihatnya. Seluruh tubuhku terasa lemah akibat tidak beraktiviti selama tempoh waktu itu. Dan kini mereka harus kembali bekerja bersama-samaku. Maka kami perlukan waktu untuk menjadi optimal kembali. Fisioterapi!
JwiSa~
4.26pm, 16/05/2011
Penang.
No comments:
Post a Comment