Sebelum menghantar mak ke airport hari ini, kami sempat berkunjung ke rumah salah seorang sahabat mak yang baru kematian ayahnya. Sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah beliau, kelihatan sekujur tubuh terbaring kaku di hadapan pintu. Salah seorang dari tamu yang haddir menyelak kain putih yang menutupi wajah arwah, dan kami menghadiahkan doa agar arwah aman di alam sana.
gambar hiasan
Aku memerhatikan tubuh yang kaku itu. Tidak lagi bergerak, tidak lagi bernafas. Sebagai seorang (bekas) pelajar perubatan, melihat mayat bukanlah suatu yang luar biasa. Namun kebiasaan ini tidak mahu aku jadikan alasan untuk mengambil mudah soal kematian. Kematian itu pasti datang pada setiap manusia.
Baginda Rasullullah S.A.W berkata:
Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Dan beruntunglah mereka yang sentiasa mengingat akan hal itu serta berbuat sesuatu untuk menghadapinya.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, yang bermaksud :
"Secerdik-cerdik manusia adalah orang yang paling banyak mengingati mati serta gigih membuat persiapan menghadapi kematian itu. Merekalah orang yang paling cerdik. Mereka meninggalkan dunia dengan kemuliaan dan menuju akhirat dengan keagungan." (Riwayat Ibnu Majah & Abi al-Dunya)
Di manakah kita, dan apakah kita sudah mempersiapkan diri menghadapinya?
.:Menanti di Barzakh; bukan sekadar lagu:.
No comments:
Post a Comment