Sep 11, 2010

Nostalgia

Aku sedang khusyuk menyiapkan projek kecilku. Hiruk pikuk dalam ruang yang tidak terlalu besar itu sedikitpun tidak mengganggu konsentrasi. Tidak seperti biasa, hari Jumaat minggu ini aku sangat bersemangat. Tiba-tiba ada orang memanggil.

"Maimanah, tadi ayah kamu telefon pejabat. Dia kata dia nak ambil kamu sekejap lagi. Ada emergency nak balik kampung..”

Hmm.. aku terkesima seketika. Ada apa ye.. soalan yang belum ada jawapannya. Tanpa membuang waktu aku segera menuntaskan pekerjaan yang belum selesai dan mengemas beg. Keluar menuju ke anjung, menunggu Abah.

Kereta abah melaju, menuju ke Negeri Sembilan. Jiran kami di Seremban yang juga merupakan teman baik abah telah kembali ke rahmatullah. Tujuan kami untuk menziarahi keluarga dan pusaranya.

“Abah, besok Manah ada pertandingan nasyid. Manah kene pergi la abah, tak boleh tak pergi..” Aku merungut dalam kereta. Pertandingan Nasyid antara kelas itu sangat penting untuk aku hadiri. Kami telah berlatih setiap petang di padang sekolah. Tak mungkin aku melepaskannya begitu saja. Mereka memerlukan aku.

“Ok, tak pe..nanti kita arrange macam mana..” relax Abah menjawab. Aku menarik muka. Masam. Merajuk.

Sebelah malamnya, kami menginap di rumah saudara. Membuat ‘mesyuarat kecil’ berbincang mencari penyelesaian kepada permasalahan ‘besar’ si Maimanah ni.. Akhirnya, (entah macam mana proses membuat keputusan ni, aku tak mampu ingat lagi)

“Macam ni, besok pagi Maimanah naik flight dengan Along balik Penang. Pertandingan tu pagi kan? Maimanah telefon kawan kamu, esok mintak giliran paling last supaya sempat” Abah memutuskan.

Ha? Aku tercengang. Budak darjah 4 dengan budak tingkatan 1 kena naik kapal terbang sendiri? Alah, tak kisah lah..asalkan aku dapat ikut pertandingan nanti.

Di airport, Abah mendaftarkan kami sebagai penumpang pesawat MAS (ketika itu belum ada Air  Asia) dengan pakej Young Passenger. Kami dilayani seperti VIP, diiring oleh kakak-kakak pramugari yang cantik dan seksi menuju ke bilik menunggu. Di atas pesawat pula, kami ditempatkan di tempat duduk paling hadapan dan diberi hadiah MAS yang istimewa. Seronoknya naik kapal terbang!

Sesampainya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Pak Ngah menunggu dengan van merahnya. Kami bergegas pulang ke rumah. Along carikan kain batik untuk ‘seragam nasyid’ku dan aku mengenakan ‘make-up’ seadanya. Nanti di sekolah ada juru make-up yang akan touch up lagi.

Alhamdulillah, aku sempat berada di tempat tepat pada waktu. Dewan Sekolah Rendah Seri Permai sudah dipenuhi dengan murid-murid, cikgu serta ibu bapa. Aku dan kawan-kawan membuat persiapan terakhir sebelum tampil di pentas. Bernasyidlah kami dengan penuh semangat.

Akhirnya kami dinobatkan sebagai juara Pertandingan Nasyid katagori darjah 4, dan kami turut memperoleh markah tertinggi secara keseluruhan! Alhamdulillah, berbaloi tiket MAS kami. :)

Selesai.

Note: saja nak cerita, tiba-tiba teringat :P


 
Gambar hiasan-Maimanah, Usayd & Khansa'


No comments:

Post a Comment