Jul 28, 2009

Rasakan sendiri la..

Petang ini aku telah menjelajah ke merata-rata blog yang sempat aku capai. Setelah 2 minggu ‘terperap’ di Rumah Sakit Faisal, sengaja aku luangkan masa untuk kembali melihat dunia.

Terjumpa petikan ini dari sini, satu soal jawab yang aku rasanya cukup layak dan patut dibaca oleh mereka yang berkenaan.

SOALAN
“Assalamualaikum ustaz.
Saya sudah membaca buku ustaz, Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga. Terima kasih atas buah tangan ustaz yang banyak membantu saya menempuh kehidupan. Teruskan menulis.

Saya ada satu masalah peribadi yang sangat rumit, dan saya memerlukan pandangan daripada ustaz.

Saya sudah bertunang semenjak setahun yang lalu. Tunang saya adalah seorang lelaki yang baik. Tetapi kami tidak pernah berjumpa dalam erti kata keluar makan atau bersiar bersama-sama. Hanya sesekali berhubung dengan telefon dan sms. Saya di Kuala Lumpur dan beliau bekerja jauh di seberang.

Masalah peribadi yang saya maksudkan ialah, saya jatuh hati dengan seorang jejaka di tempat kerja saya, dan beliau pula ada suami orang. Kami sering bertemu di tempat kerja, dan urusan kerja seharian rupa-rupanya tanpa sedar membibitkan percintaan di antara kami. Saya tahu yang beliau suami orang dan beliau juga tahu yang saya sudah bertunang. Tetapi kami tidak dapat membohongi diri masing-masing tentang perasaan ini.

Saya khuatir perbuatan saya ini menzalimi tunang saya dan isteri jejaka tersebut.

Saya sudah puas bersolat hajat meminta petunjuk dari Allah, membaca al-Quran dan berdoa, tetapi saya masih belum mempunyai kekuatan untuk menolak cinta ini.

Saya memerlukan satu nasihat yang tegas dan kuat dari ustaz. Mudah-mudahan dengan nasihat itu saya bertemu dengan kekuatan yang tidak saya temui selama ini.

Terima kasih atas kesudian membaca email saya. Harap ada balasan daripada pihak ustaz. Saya setia menanti.

Wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Gadis KL”

JAWAPAN

Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakaatuh.
Terima kasih atas kiriman email saudari. Terima kasih juga kerana membeli dan membaca buku saya.

Sesungguhnya segala yang perlu diperkatakan, telah saya perkatakan di dalam kedua-dua buku yang saudari baca. Justeru jika saudari masih memerlukan satu nasihat lain yang lebih tegas dan kuat dari saya, hanya yang satu ini sahaja yang belum saya nukilkan.

Ambillah lilin, nyalakan ia dan letakkan satu daripada sepuluh jari saudari di api lilin itu. Hitunglah berapa saat saudari mampu bertahan akan kepanasan api lilin yang membakar dan menghanguskan satu daripada sembilan jari saudari.

Jika saudari melepasi proses pertama ini, letakkanlah pula jari kedua hingga ke jari yang ke sepuluh.

Rasalah sendiri panasnya api.

Sesungguhnya kepanasan api lilin itu, hanyalah secebis daripada kepanasan api Neraka dan Murka Allah yang menanti manusia yang menzalimi manusia yang lain.

Dan salah satu komen terhadap entri ini :

Jawapan yang ustaz beri,bukan hanya untuk Gadis KL sahaja,ttp untuk semua yang tak pandai menjaga maruahnya dan tak tahu mengendali diri sendiri,walau pun dah tahu yang dibuat itu salah tetapi masih lagi ingin meletakkan diri didalam kebinasaan .Kenapalah membiarkan Syaitan menunggang diri mereka?Jadi lepaskanlah nafsu itu dan terimalah jawapan ustaz seadanya,kerana ISLAM itu selamat didunia dan akhirat.

Dah tau salah, tapi tetap buat. Kenapa? Bukan korang lemah tak kuat nak lawan nafsu, tapi korang sengaja membiarkan diri kalah dengan nafsu. Hei, wake up lah!

Agak emosi. Baru tengok maksiat depan mata beberapa hari lalu. Astaghfirullah..

No comments:

Post a Comment