Oct 28, 2009

Lup Dup

Maaf. Sudah lebih seminggu teratak hijau ini tidak membawa khabar. Tidak senang hati melihat bilangan pengunjung semakin bertambah, sedangkan laman ini masih juga tidak berganjak.


Ada satu soalan mudah. Apa fungsi kereta? Jawapannya pasti anda semua tahu. Kereta adalah salah satu kenderaan yang dapat membawa kita ke mana-mana yang dikehendaki.

Soalan kedua. Apakah yang menyebabkan sebuah kereta dapat bergerak – menjalankan fungsinya? Selain struktur mesin yang lengkap, ia memerlukan ‘makanan’ berupa minyak (dan yang setara dengannya) untuk mampu berfungsi sebagai kenderaan.

Soalan berikutnya.

Anda tahu fungsi jantung? Pasti ramai yang tahu... Jantunglah yang bertanggungjawab mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Tanpa darah, seluruh tubuh kita tidak mendapat oksigen yang diperlukan untuk menjalankan semua fungsinya. Kita mati tanpa darah. Betapa pentingnya jantung yang berdegup di dalam dada anda.

Cuba dengar degupan jantung anda. Lup dup..lup dup.. setia, setiap saat tidak lupa untuk berdegup.

Soalan terakhir. Kalau ‘makanan’ kereta adalah minyak, apa pula makanan bagi jantung??

Oleh kerana jantung juga adalah sebahagian dari tubuh, maka jawapannya adalah darah!

Tapi, kalau fungsi jantung sendiri memompa darah ke seluruh tubuh, dari mana pula jantung mendapat makanannya?

Macam ni...

Darah keluar dari jantung menuju ke seluruh tubuh melalui satu salur darah terbesar dalam tubuh, namanya aorta. Tapi, tak semua darah dari jantung akan masuk ke aorta. Di pangkal aorta ada satu cabang salur darah yang agak kecil, yang mengalirkan darah ke otot-otot jantung. Namanya, arteri koroner. Arteri inilah yang membawa ‘makanan’ kepada jantung, agar nantinya jantung dapat bekerja dengan optimal.

Bayangkan jika ada masalah pada arteri koroner ini. Mesti otot jantung tak cukup makanan, kan? Inilah yang difahami oleh orang awam sebagai ‘serangan jantung’, dan para doktor mengenalnya sebagai ‘coronary artery disease’



Masalah 1

Doktor : Assalamualaikum, makcik..kenapa makcik, ada yang boleh saya tolong?

Makcik : Wa’alaikum salam..ni doktor, pagi semalam makcik sakit dada..kat sebelah kiri ni (sambil mengurut-urut dadanya). Makcik baru balik dari pasar. Sampai je rumah, tiba-tiba rasa sakit. Habis basah ni, berpeluh. Sakit tu rasa macam ada yang hiris-hiris dada makcik ni. Sakit betul! Sampai ke belakang rasa sakitnye. Leher pun rasa tegang. Tangan kiri makcik ni pun sakit. Tangan kanan tak sakit pulak.. kenape ye doktor?

Doktor : Kejap ye makcik, biar saya periksa dulu. Masa sakit tu makcik buat ape?

Makcik : Hmm..makcik duduk kejap. Agaknye penat sangat kot. Memang banyak barang makcik beli kat pasar. Kebetulan pulak anak makcik ade hal tak dapat ambik makcik. Jadi makcik balik jalan kaki je la. Bukannya jauh sangat pasar tu. Makcik duduk dekat tepi masjid tu je ha!

Doktor : Ooo..habis tu, bila makcik rehat..sakit lagi?

Makcik : Alhamdulillah la tak sakit dah lepas tu. Ade la dalam 3-4 minit sakitnye. Tapi doktor, petang tu kat kebun datang pulak sakitnye. Risau makcik. Tu yang makcik datang jumpe doktor ni... memang makcik perasan 2-3 minggu ni makcik rasa sakit-sakit dada ni kalau penat. Isk, tak sedap hati le makcik...

Hmm, makcik ni memang peramah :)

Apa yang terjadi pada makcik ni adalah, jantung tak dapat makanan yang cukup sedangkan jantung perlu bekerja lebih ketika makcik ni berjalan kaki dari pasar, dan ketika berkebun pada sebelah petangnya. Masalah tak muncul pada keadaan rehat, sebab jantung pun tidak bekerja lebih. Kemungkinan, arteri koroner makcik ni dah menyempit akibat pembentukan plak di dindingnya. Jadi hanya sedikit jumlah darah yang dapat melaluinya.

Keadaan ini difahami oleh para doktor sebagai Stable Angina Pectoris. Doktor akan memberikan ubat yang hanya dimakan (diletakkan di bawah lidah) ketika sakit.




Masalah 2

Man : Assalamualaikum, Pak Lang. Dengar kata Mak Lang masuk hospital ye? Kenape Pak Lang?
Pak Lang : Iye.. Mak Lang kamu kat hospital sekarang. Doktor kata dia sakit jantung.

Man : Innalillah. Mak Lang sakit dada ke?

Pak Lang : ha’ah, dah seminggu sakit. Sebelah kiri katanye. Mula-mula kalau dia penat je sakit. Tapi hari Selasa hari tu, tak hilang-hilang sakitnye. Tengah tengok tv pun kadang sakit. Lama pulak tu. Lebih la setengah jam kot! Kesian tengok Mak Lang kamu...kami terus la bawak dia pergi hospital.. Alhamdulillah, nampak dah ok sikit. Tapi doktor kata Mak Lang kene rehat dulu 2-3 hari kat sana..

Man : Elok la tu, biar Mak Lang rehat. Kalau kat rumah pun mesti tak boleh duduk diam. Ade je yang nak dibuatnye..

Nampak bezanya?

Mak Lang pun sakit dada, keadaannya sama dengan makcik tadi. Cuma, sakit Mak Lang lebih lama, dan tak hilang walaupun berehat. Kemungkinan plak di dinding arteri koroner Mak Lang mengalami luka, menyebabkan tubuh kita cuba untuk ‘menutup’ luka tersebut dengan platlet dan trombin. Akhirnya terjadi sumbatan pada arteri koroner. Darah tidak dapat melaluinya, dan jantung menjerit.. “Aku nak oksigen!!!”

Sakitlah si Mak Lang...

Keadaan ini difahami oleh para doktor sebagai Unstable Angina Pectoris, dan perlu penanganan segera..!

Sakit jantung adalah pembunuh nombor satu negara.

Perlu diketahui, tidak hanya orang-orang yang terlantar di wad-wad pesakit jantung atau mereka yang menerima ubat jantung sahaja berhadapan dengan masalah ini. Sebaliknya, masyarakat di luar sana yang sibuk bekerja setiap hari, berjalan mundar mandir ke sana sini pun.. tidak terlepas dari ancaman sakit jantung. Proses pembentukan plak di arteri koroner anda tetap saja berjadi, hanya saja mungkin jantung anda masih ‘macho’ dan gagah menjalankan fungsinya.

Namun perlu juga diketahui, tidak semua pesakit jantung akan ‘dibunuh’ oleh jantungnya. Asalkan anda rajin mengunjungi doktor untuk pemeriksaan, rajin makan ubat seperti yang dianjurkan, dan tidak melanggar ‘pantang larang’, insyaAllah keadaan akan dapat dikawal. (pesakit jantung akan memerlukan ubat seumur hidupnya..)

Ada beberapa golongan/keadaan yang berisiko tinggi mendapat penyakit jantung.

Perokok, orang tua, lelaki, tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan, menghidap kencing manis, kolesterol darah tinggi, atau mungkin ada anggota keluarga anda pernah sakit jantung.

Dan ada beberapa hal yang dapat mencetuskan serangan jantung.

Minum kopi, stress, marah, makan yang berlebihan dan kerja yang berlebihan.
Anda di golongan mana? Siapapun anda, pergilah bertemu doktor untuk pemeriksaan rutin. Sebagaimana seorang pencinta kereta secara rutin ‘memeriksakan’ keretanya ke bengkel, jadilah seorang ‘pencinta diri’ yang secara rutin memeriksakan dirimu ke doktor (terutama mereka yang berusia diatas 45 tahun). Mencegah lebih baik daripada mengubati!



Note :
1- Coronary Artery Disease hanya salah satu dari sekian banyak penyakit jantung..
2- Doakan kami ujian di Cardiology minggu depan! :)


Maimanah, doctor-to-be (insyaAllah)
27 Okt 2009

3 comments:

  1. nice article.....if i'm not wrong the medicine is nitroglycerine....it use to check either the chest pain due to angina pectoris or myocardial infarction.....if its been treated by nitroglycerine means its just angina....not myocardial infarction...is it right doctor?

    ReplyDelete
  2. yes~absolutely correct :)

    Stable angina is relieved by nitroglycerine. This drug dilate the coronary artery

    ReplyDelete
  3. cardiology, the best ever~
    membahaskannya x pernah selesai...
    just understand the physiology, u can understand the rest! insyaAllah~
    all the best in ur xm k!

    ReplyDelete