Tarikh istimewa, 01-01-10 akan berlalu beberapa minit lagi. Setelah itu, bermulalah satu lagi hari baru dalam sejarah kehidupan. Di sana sini orang sibuk merayakan awal tahun, menyambut 2010. Dengan cara masing-masing. Tapi aku tak ingin membicarakan tentangnya. Aku ingin membawa pembaca kembali ke duniaku, beberapa tahun dahulu ketika aku masih dibangku sekolah.
Masuknya tahun yang baru memang sesuatu yang besar maknanya bagiku, ketika itu. Bukanlah besar sangat, kalau ia kerana ‘tahun baru’ itu sendiri. Tapi ia lebih bermakna, kerana memasuki tahun baru bererti sudah hampir tiba waktunya untuk aku kembali ke sekolah. Ya, aku suka ke sekolah dan setiap cuti akhir tahun aku tidak sabar menunggu bilakah lagi akan kembali ke sekolah :)
Masih ada beberapa minggu sebelum kembali ke sekolah, aku sudah mula mencongak. Apakah yang akan aku hadapi di tahun yang baru. Aku akan duduk di meja paling hadapan, sudah tentu bersama teman-teman karibku. Aku akan memiliki buku-buku yang baru dan cantik. Oh ya, aku pasti nanti dibelikan kasut baru, dijahitkan baju dan tudung baru yang putih berseri..segalanya baru. Yang paling menyeronokkan, aku akan bertemu kawan-kawan dan cikgu-cikgu di sekolah!
Wah! Dunia semalam sungguh terasa indah bila dikenangkan kembali. Dalam keseronokan itu kadang tak terasa susahnya Fizik dan Matematik Tambahan (Memang tidak susah berbanding mata pelajaran sejarah..hehe) Dalam keasyikan itu tak terasa penat dek padatnya rutin pelajar asrama. Kerana di sanalah aku belajar untuk menghadapi kehidupan di luar nantinya.
Dan sekarang, semua itu adalah masa silamku. Boleh dikenang. Bukan untuk dilewati kembali, tapi sebagai inspirasi untuk perjalanan ke depan. Aku perlukan keikhlasan itu. Semoga aku juga dapat menikmati detik-detik ‘sekolahku’ yang sekarang :)
Untuk adinda Syaimaa’, selamat kembali ke sekolah. Mulakan dengan niat yang ikhlas, semangat yang mantap dan kekalkan momentum dengan azam dan cita-cita. Semoga lebih cemerlang. Enjoy your time!
No comments:
Post a Comment