Nov 12, 2009

Biografi Unik!

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki seluruh alam ini. Maha Suci Allah, yang telah mengilhamkan kepada kita iman dan kemudian melimpahi kita dengan rahmatNya.

Hari itu, untuk ke sekian kalinya aku berkunjung ke kedai buku di Makassar. Layaknya seperti rakyat Malaysia melihat kedai buku Popular, demikianlah kami di sini melihat Gramedia. Seperti biasa, aku tidak mempunyai tujuan khusus untuk membeli apa-apa. Aku datang untuk meninjau, kalau-kalau ada buku yang menarik untuk aku beli dan baca. Lagipun tak lama lagi aku akan melalui beberapa hari tanpa tugas di rumah sakit. Bercuti seminggu sebelum kembali meneruskan rutin di koas. Maka aku perlu sesuatu untuk di baca. Mudah-mudahan ada barang bagus!

Rak-rak novel menjadi tujuanku. Melihat satu per satu. Hmm..tiada yang menarik minatku. Kebanyakan novel sekarang banyak memuatkan tema seperti mana yang di angkat oleh Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy) dalam karyanya Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Di Atas Sajadah Cinta dan seumpanya. Minta maaf, aku tak berminat. Mungkin terlalu banyak kata-kata cinta membuatkan aku muak. Adapun novel-novel yang lain adalah cerita-cerita klasik dari negara luar yang telah dialih bahasa... Melihat, mencari, membaca sinopsis dan meletakkannya kembali. Akhirnya aku hanya memujuk diri. “Tak pe lah. Lain kali...”

Hingga saat aku ingin melangkah keluar dari ruang yang sarat dengan buku itu, tiba-tiba mataku terpaku pada sebuah buku yang sederhana. Entah apa yang menarik. Adakah kerana ‘bajunya’ berwarna warna kegemaranku? Tanpa berfikir panjang aku terus mencapainya, membaca sinopsis sepintas lalu dan membelinya!

Ku catat namaku.

Maimanah Mohd Rashid,
31 Oktober 2009, Makassar.

Mencari sisi-sisi menarik dari buku ini, aku cuba membaca Pernyataan Penulis di halaman pertama. Semoga aku lebih terpancing untuk menghabiskan bacaanku ini.

“Semua penilaian, pendapat serta ulasan berkenaan dengan biografi Syaikh al-Banna, serta semua catatan dan komentar berkenaan Imam Syahid-yang terdapat dalam buku ini-adalah pendapat peribadi penulis belaka. Adapun segala sesuatu yang menjadi akibat dari semua itu sepenuhnya menjadi tanggungjawab penulis. Satu-satunya keistimewaan penulis dalam hal ini adalah segitiga ikatan yang mempertautkan masing-masing kami, yakni Imam Syahid, ayahnya serta saudara kandung beliau (saya). Keistimewaan yang sekaligus mendorong penulis sebagai ‘tunas terakhir’ bagi sang ayah, serta adik kandung bagi sang Imam...”

Subhanallah, rupa-rupanya buku ini adalah hasil tulisan seorang anak tentang ayahnya yang amat komited dengan ilmu dan sunnah sehingga bagaimana peribadi inilah yang kemudiannya membentuk seorang tokoh ulama yang unggul, Imam Syahid Hasan Al-Banna!



Demikianlah, aku rasakan buku ini amat unik - Lelaki Penggenggam Kairo; Sosok Di Balik Perjuangan Hasan Al-Banna. Ditulis oleh Ahmad Jamaluddin.

Sekali-sekali aku cuba membayangkan jika aku sedang menulis biografi abah untuk dibukukan :)

Buku setebal 265 halaman ini memuatkan dua bahagian utama, 1) Mengungkap Jejak Ahmad Abdurrahman al-Banna (sang ayah), dan 2) Surat-Surat (tak terpublikasikan) Imam Hasan al-Banna.


Mengungkap Jejak Ahmad Abdurrahman al-Banna


Secara garis besar, bab ini menceritakan bagaimana tingginya tekad dan azam Syaikh dalam merealisasikan cita-citanya. Beliau memiliki perpustakaan peribadi yang memuatkan banyak buku tafsir, hadis dan buku-buku lainnya. Namun ada satu buku yang paling menarik minat beliau iaitu kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal asy-Syaibani (terdiri dari 6 jilid besar). Ayahanda Syeikh memberi fokus dan tumpuan untuk mengkaji dan memahami kitab ini.


“Kitab ini laksana lautan luas yang penuh dengan ilmu pengetahuan. Ombaknya adalah ilmu yang menggelombang semetara tidak ada pelabuhan di situ. Rasanya tidak mungkin bisa ‘memancing’ ilmu-ilmu dan permata yang terdapat di dasarnya.


Kerana itu, timbullah panggilan dari dalam jiwa saya untuk menyusun isi kitab ini dalam bentuk pasal dan bab. Semua hadis yang terdapat di dalamnya saya ikat dan kelompokkan dalam bab dan pasal tertentu. Saya hubungkan antara yang satu dengan yang lain, serta saya terangkan qarinah-qarinahnya. Saya dudukkan setiap persoalan bersama persoalan yang serupa.


Namun menghadapi semua itu saya merasa kerdil. Saya lemah. Hanya saja, motivasi ini semakin menyala-nyala. Ada pertarungan antara keinginan dan kemampuan. Belum lagi saya berfikir bagaimana menghadapi rasa bosan apabila menghadang di tengah jalan. Bagaimana kalau rasa letih mendera.


Akan tetapi, Allah berkehendak lain. Allah swt tetap menginginkan cahaya bersinar sempurna. Azam yang kuat, niat yang besar, dan taufiq dari Allah swt membuat saya berhasil mewujudkan semua cita itu..”


Cita-cita ini bukanlah sesuatu yang mudah. Melihat kepada kondisi ayahanda Syeikh - seorang lelaki yang terbatas pergerakannya, tidak begitu terkenal, tiada penghasilan khusus dan memiliki keluarga besar (5 anak lelaki & 3 anak perempuan, satu meninggal sewaktu kecil), di tengah-tengah bandar kecil yang jauh dari kota (Cairo).


Bahkan Imam Ibnu Katsir pernah cuba membuat Tartib al-Musnad tetapi belum berhasil.


“Aku masih saja melihat dan mengkajinya (al-Musnad), sementara lampu yang menerangiku telah meredup, hingga akhirnya mataku pun menjadi rabun”


Buku ini seterusnya memberi gambaran betapa besarnya pengorbanan ayahnda Syeikh demi merealisasikan citanya. Bagaimana dipertengahan beliau sempat memutuskan untuk berhenti, tetapi Allah jua yang memberi kekuatan dan kemampuan kepadanya. Sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama, apakah faktor yang mendorong beliau untuk berdiri teguh?


(Dari Shuhaib bin Siran r.a, Rasulullah saw bersabda : Ketika ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, maka mereka diseru : “Wahai penduduk syurga, sesungguhnya Allah masih memiliki janji dengan kalian yang belum kalian lihat.” Lalu penduduk syurga menjawab: “Janji apakah lagi itu? Bukankah wajah kami telah diceriakan? Bukankah kami telah dihindarkan dari api neraka? Bukankah kami telah dimasukkan ke dalam syurga?” Maka seketika itu dibukalah hijab pembatas, lalu mereka melihat kepada Allah swt. Rasul berkata: “Demi Allah, tidaklah ada pemberian Allah yang lebih mereka sukai daripada itu”


Kemudian Rasulullah saw membaca ayat firman Allah : “Sesungguhnya orang-orang yang berbuat baik itu akan memperoleh syurga dan juga tambahan nikmat (iaitu melihat Allah swt)” [Yunus 10 : 26]


Ayahanda Syeikh berkata : “Setiap kali saya dihinggapi rasa bosan, saya pun membaca hadis tentang ‘Melihat Allah saw’ di atas, maka semangat saya pun menggebu kembali..”


Subhanallah. Motivasi teragung beliau adalah Allah. Beliau menghadirkan Allah dalam setiap langkah pembuatan kitab ini, sentiasa memohon doa dan petunjuk yang terbaik sepanjang penyusunan semula kitab tersebut. Alangkah baiknya jika kita juga mampu mencontohinya.


Kitab ini (alFath ar-Rabbani/Anugerah Allah) akhirnya berjaya ditulis oleh beliau sebanyak 22 jilid sehingga detik akhir kehidupannya. Dua jilid terakhir (jilid 23 & 24) diteruskan oleh keluarga dan sahabat-sahabat beliau.


Surat-Surat (tak terpublikasikan)Imam Hasan al-Banna.





Bab kedua ini sedikit menceritakan permulaan hidup Imam Syahid dan banyak memuatkan surat-surat yang dikirim oleh Imam Syahid kepada ayahandanya yang disebut dalam suratnya sebagai ‘Tuanku ayahanda yang mulia’ (sedekimian beliau menghormati dan menyanjungi ayahnya). Ketika itu Imam Syahid berada jauh dari keluarga, bekerja di Athaf, Ismailiyah dan Qana. Beberapa fakta tentang Imam Syahid :


1) Imam Syahid sentiasa menjaga hubungannya dengan kedua orang tuanya, mengirim khabar dan merincikan setiap satu yang dilakukan di sana. Tidak lupa beliau menasihati ayahnya, meminta pandangan untuk beberapa perkara, serta turut membantu ayahnya mendidik adik-adik beliau.

2) Imam Syahid merincikan setiap penggunaan wang gajinya kepada ayahnya. Beliau menganggap ayahnya ‘mempunyai hak’ untuk mengetahui tentang setiap pengeluaran wangnya meskipun wang itu adalah gajinya sendiri.

3) Saiful Islam adalah nama salah seorang anak Imam Hasan al-Banna!
4) Puisi/syair gubahan Tharfah bin al-‘Abd tentang Imam Syahid
Ketika orang berkata
Siapa dia pemuda itu?
Yang dimaksud itu adalah aku
Sebab aku tak pernah malas dan bersikap bodoh

5) Sejak awal, Imam Syahid memang bercita-cita menjadi pendidik, terutamanya kepada anak-anak. Baginya, mengajar anak-anak adalah sebagai persiapan mendidik orang dewasa. Beliau belajar di Darul Ulum bagaimana menjadi pendidik yang baik, mengedepankan teladan, dengan teknik-teknik kesantunan seperti berwajah manis, mengingat nama saudara dan sebagainya. Memang kemampuan ini boleh dimiliki setiap peribadi, namun pembelajaranlah yang membuatnya semakin berkembang dan mendalam. Kemampuan inilah kemudiannya menjadikan Imam Syahid sebagai pemimpin Ikhwanul Muslimin yang disegani dan dihormati.
6) Wajah Imam Syahid lebih banyak mewarisi iras ibunya berbanding ayahnya.
7) Imam Syahid berkahwin dengan isteri pilihan ibunya, seorang wanita pemalu yang bertubuh tinggi, berkulit putih dan berperibadi anggun. Sedang saudaranya yang lain masing-masing berkahwin dengan wanita/lelaki pilihan sendiri.


* * *

Demikian secara ringkas sinopsis dari buku ini. Banyak lagi mutiara dan permata yang tidak sempat aku bagi-bagikan. Kalau nak lebih, bacalah sendiri! :)
Note :
- Buku ni tak mahal, hanya Rp 33,500 (RM 12.00)
- Bagi sahabat-sahabat di Malaysia, kalau nak buku ni insyaAllah boleh dibelikan..kalau stok masih ada!

Promosi :
Baca jugak buku ni, kisah perjuangan tokoh muslimah Zainab AlGhazali sebagai sayap kanan Ikhwanul Muslimin. Menggugah semangat!
(Beliau telah kembali ke Rahmatullah pada 4 Ogos 2005 yang lalu. Semoga Allah merahmati beliau)


Wallahu'alam.

JwiSa~
9.00 am, 12 November 2009

9 comments:

  1. Good sharing. Alhamdulillah, banyak mutiara dari coretan ini. Jzkk manah....

    ReplyDelete
  2. coret mencoret,
    semoga terpalit! :)

    ReplyDelete
  3. Mai, belikan utk along. Dua-dua.

    ReplyDelete
  4. along..buku 1st boleh beli, insyaAllah. buku 2nd, tak pernah jumpe kat kedai.kalau jumpe i beli la ye~~

    ReplyDelete
  5. manah, ana nk jgk..2 2 buku...if buku ke 2 x jumpa, ana tggu nti blik bersama buku2...hehe...

    ReplyDelete
  6. buku ke 2 tu bkn ada jual d msia ke. mak dah baca buku tu zaman you'll kecik2 dulu....hehe

    ReplyDelete
  7. haa..tu la. Rasa mcm pernah nampak buku tu kan rumah. Tapi masa tu tak de pulak baca, tak tau pun sapa Zainab tu. Betul lah kata org, tak kenal maka x cinta :)

    ReplyDelete
  8. kami mmg pernah jumpa dia masa kat UK dulu. orangnya nampak tough, lebih tua dari umur sbb telah mengharungi macam2 cabaran dan mehnah perjuangan. siapa akan lahirkan seorang lagi 'zaynab al ghazali'

    ReplyDelete
  9. assalamualaikum, Ukhtie..

    tersinggah dan terbaca posting ukhtie..dan berminat nak dapat buku ttg biogragfi tu..boleh tolong ana belikan buku tu???. email ana di nazariah@doe.gov.my

    ReplyDelete