Sep 16, 2008

.:syahid di tangan sahabat sendiri:.

Al-Yaman; sahabat yang syahid di tangan kaum muslimin sendiri!

Al-Yaman merupakan seorang sahabat dari Bani Abbas di Kota Makkah. Beliau antara sepuluh orang dari Bani Abbas yang datang menemui Rasulullah untuk menyatakan keislaman. Peristiwa ini berlaku sebelum peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah. Hasil perkahwinannya dengan anak perempuan suku Asyah di Madinah, lahirlah Hudzaifah, sahabat yang agung.

Al-Yaman & anaknya tidak berkesempatan turun berperang di peperangan Badar kerana sedang berada dalam tawanan Quraisy. Maka pada perang Uhud, mereka telah turut serta memerangi orang kafir Quraisy. Rasulullah menugaskan Al-Yaman dan Tsabit bin Waqsy mengawal benteng tempat para wanita dan anak-anak, sebab kedua-duanya sudah tua. Walaubagaimanapun, ditengah-tengah peperangan, mereka bertekad untuk turun berperang.

“Bagaimana pendapatmu; apalagi yang harus kita tunggu? Umur kita sudah tua, tinggal menunggu detik sahaja. Kita mungkin saja mati hari ini atau esok. Apakah tidak lebih baik kita ambil pedang, lalu menyerbu ke tengah-tengah musuh membantu Rasulullah. Mudah-mudahan Allah memberi rezeki syahid menjadi syuhada bersama-sama nabiNya”

Lalu keduanya mengambil pedang dan terjun ke medan peperangan. Tsabit b Waqsy syahid di tangan kaum musyrikin. Tetapi Al-Yaman, menjadi sasaran kaum muslimin sendiri, kerana mereka tidak mengenalinya.

Hudzaifah berteriak, “Itu ayahku..!! itu ayahku..!!” Tetapi sayang, tiada yang mendengar teriakannya sehingga ayahnya jatuh tersungkur oleh pedang teman-temannya sendiri.

Rasulullah memutuskan untuk membayar tebusan darah (diyat) Al-Yaman kepada anaknya Hudzaifah, namun dia menolak.

“Ayahku menginginkan agar dia mati syahid. Keinginannya kini telah tercapai. Ya Allah, saksikanlah! Sesungguhnya saya menyedekahkan diyat darah ayahku kepada kaum muslimin.”

Mendengar pernyataan itu, penghargaan Rasulullah terhadap Hudzaifah bertambah tinggi dan mendalam.

* Rasulullah saw menilai peribadi Hudzaifah Ibnul Yaman dengan tiga keistimewaan yang menonjol :
- Cerdas tiada bandingan, sehingga dia dapat melepaskan diri dari situasi yang serba sulit.
- Cepat tanggap, tepat dan jitu, yang dapat dilakukan dalam situasi apa pun.
- cermat & teguh memegang rahsia dan berdisiplin tinggi sehingga tidak seorang pun dapat
mencungkil keterangan darinya.

Dipetik dari : 101 Sahabat Nabi; PUSTAKA AL-KAUTSAR.

No comments:

Post a Comment