Feb 1, 2010

si hidung merah

“Kehidupanku tidak sesenang orang lain. Aku tidak mampu bersekolah kerana kedua ibu bapaku tidak mampu menanggung perbelanjaan sekolah. Sebagai anak sulung, aku perlu membantu mak dan ayah mencari wang untuk kehidupan. Setiap hari, aku berjalan disepanjang pelabuhan untuk mencari sisa-sisa tangkapan nelayan untuk aku jual di pasar. Dari hasil jualan itu nantilah aku dapat membeli makanan untuk kami sekeluarga... Tapi kehidupanku berubah bila aku bertemu dengan Kak Den. Kak Den mengajar aku dan kawan-kawan ilmu silap mata dan pertunjukan sarkas. Setiap hari kami berkumpul di halaman rumah untuk berlatih. Kak Den juga mengajar kami bahasa Inggeris. Kami juga bertuah bila Kak Den dan kawan-kawannya membantu kami mendapatkan wang sehingga kami dapat kembali ke sekolah. Hidup aku kini berubah, terima kasih Kak Den..” (Telah diubahsuai dan dialih bahasa ke bahasa Malaysia)

Mata berkaca. Nafas terasa sesak, dada terasa berat menahan sebak. Simpati. Akhirnya berderai juga air mata...





Sedutan video itu sungguh menyentuh perasaan. Memang begitulah realiti kehidupan sebahagian masyarakat di Indonesia. Berapa ramai anak-anak yang tidak mendapat pendidikan kerana keterbatasan wang. Hidup mereka yang seharusnya penuh dengan keseronokan, keceriaan dan pembelajaran terpaksa dilalui dengan jerih dan payah mencari sesuap nasi.

Kak Den yang disebut di sedutan video tadi adalah seorang warganegara Amerika yang datang ke Indonesia mengikuti keluarganya. Beliau sempat bersekolah di Indonesia sebelum melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti di Chicago. Setelah beberapa lama, beliau terpanggil untuk kembali ke Indonesia. Ada sesuatu yang menarik beliau untuk kembali ke sini, itulah naluri kemanusiaannya.

Kehidupan Kak Den (nama penuh tidak diketahui) di Indonesia telah banyak dipertontonkan dengan sketsa kehidupan anak-anak di sana yang tidak bernasib baik. Keprihatinannya menggerakkan hati beliau untuk mendekati anak-anak ini. Kak Den yang fasih berbahasa Indonesia mulanya tidak diterima orang warga setempat kerana ragu-ragu. Namun setelah beberapa waktu, Kak Den semakin mendapat kepercayaan mereka. Dari situ, Kak Den berjaya menubuhkan sebuah kumpulan ‘sarkas hidung merah’ yang telah beberapa kali membuat persembahan di beberapa tempat di Indonesia. Kak Den turut membantu mereka mencari dana untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan mereka. Menurut beliau, bukan ‘sarkas hidung merah’ yang ingin beliau perjuangkan, tetapi beliau ingin melihat anak-anak ini lebih berkeyakinan melalui kehidupan mereka. Dalam usia yang masih muda, banyak potensi dan peluang untuk mengubah kehidupan menjadi sesuatu yang lebih bermakna.



Kumpulan hidung merah bersama guru mereka, Kak Den membuat pertunjukan di rancangan TV Rapor Idola Cilik 3. Meskipun ada yang silap langkah, ada yang tersalah baling, dan ada yang terlepas gegelang warna warni, namun pertunjukan mereka cukup menarik dan menghiburkan. Terserlah kesungguhan mereka untuk memberikan yang terbaik untuk seisi dewan. Pertunjukan tersebut bukan hanya menunjukkan bebola dan gegelang warna warni yang dibaling dan disambut, tetapi juga menyisipkan nilai kasih sayang ke hati-hati penontonnya.

Nilai keprihatinan dan kepedulian itu ada pada semua orang. Namun alangkah baiknya jika nilai ini ditambahmaniskan dengan nilai-nilai agama dan ketuhanan. Selain membawa mereka ke kehidupan dunia yang lebih baik, ia juga memberikan jaminan kebahagiaan di akhirat kelak. Siapakah yang akan memperkenalkan nilai-nilai tersebut pada mereka? Silakan, para da’ie sekalian. Ambillah bahagian masing-masing.

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dah berkata, “Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)”?

2 comments: