Jan 31, 2010

Kasut baru

Ada cerita dalam cerita, ada kisah dalam kisah..

Satu hari, aku ke kedai untuk mencari sepasang kasut baru. Kasut yang boleh aku pakai untuk ke kuliah setiap hari, kerana kasut yang lama sudah rosak.

Tempat tujuan pastilah sebuah kedai yang terpercaya. Aku biasa membeli di sana dan aku berpuas hati dengan produknya. Tak perlu terlalu mahal, tapi tidak juga terlalu murah. Barang yang terlalu murah kadang lebih sinonim dengan kualiti yang rendah.

Aku melihat sekali imbas. Hal yang pertama aku perhatikan adalah rekabentuk kasut yang sesuai dengan hasratku. Yang sesuai dengan status ‘kasut kuliah’. Yang terlihat kukuh dan fleksibel. Juga warnanya. Hmm..ada beberapa pasang kasut yang kelihatan agak bagus. Aku melihat dengan lebih teliti.

Berminat dengan sepasang kasut berjenama tempatan, aku cuba memakainya. Agak kecil. Aku minta ukuran yang lebih besar. Hak pengguna, aku mencari barang yang bagus. Penjual kembali dengan kasut seukuran kakiku. Ku sarungkan ke kaki. Just nice. Cuba berdiri, berjalan dan berpusing memperagakan kasut – mungkin bakal kasut baruku. Selesa? Hmm..boleh la. Tapi agak ketat. Kata penjual, kasut tersebut akan mengembang. Jadi kasut ketat itu akan bertambah longgar seiring waktu. Setelah mempertimbangkan harga, warna dan rekabentuk, aku setuju membelinya.



Hari pertama kuliah di semester baru, aku melangkah dengan semangat baru & kasut baru. Langkah terasa agak berbeza. Maklum, kasut baru. Belum biasa. Tapi aku senang dengannya. Setiap kali bertemu rakan-rakan, sempat aku memberitahu. Ini kasut baru aku! :) Bukan menunjuk, sekadar berkongsi kegembiraan.

Tapi menjelang petang, kaki mula terasa sakit. Kasut baru seakan mencengkam urat-urat kakiku. Ketat! Sehingga untuk berjalan pun aku rasa tidak sanggup. Sekiranya diberi pilihan, mahu saja aku berjalan dengan kaki ayam. Tapi tidak mungkin.

Sesampainya di rumah, kasut baruku secepatnya aku tanggalkan. Hahh. Sakit, betul-betul menyakitkan. Tapi tak bererti aku tidak menginginkannya. Aku masih ingat kata-kata si penjual, kasut ini akan mengembang nanti. Sabarlah sikit...

Hari kedua kuliah, aku merehatkan kakiku dengan hanya memakai kasut kuliah yang lama. Walaupun sudah rosak, ia masih dapat melindungi kakiku. Selama seminggu, hanya dua hari aku memakai kasut baru. Sebab pertama, aku akan kesakitan kalau memakainya setiap hari. Kedua, aku tetap mahu memakai kasut baru itu supaya ia cepat mengembang, supaya cepat aku merasai keselesaannya. Dan ketiga, aku tetap ingin memakai si kasut baru yang aku yakin ia memang sepasang kasut yang bagus!

Setelah itu, aku sudah mampu memakainya dengan lebih kerap. Kesakitan masih terasa, tapi sudah berkurang dan dapat ditahan. Kalau sakit sangat, boleh buka sekejap. Lepas tu pakai la balik.. Aku harus tetap sentiasa memakainya. Sehinggalah akhirnya setelah masuk bulan kedua, kasut baruku sudah cukup selesa untuk dipakai setiap hari.

Hari ini, kasut baruku (yang aku tetap ingin memanggilnya ‘kasut baru’) masih setia menemaniku ke kuliah setiap hari, dan aku akan setia dengannya~

[End of story]

Ada cerita dalam cerita~Ambillah mana-mana cerita yang kamu mahu.

1 comment:

  1. bila beli kasut pastikan satu jari telunjuk boleh masuk antara tumit dan bhgn dalam belakg kasut dgn stokin.

    ReplyDelete