Jul 5, 2009

Ini bukan taman permainanmu!

Dari jauh sudah kedengaran gelak tawa mereka. Entah apa yang seronok sangat. Berlari ke sana ke sini. Indahnya dunia mereka tanpa bebanan tanggungjawab. Tiada yang harus dipedulikan. Tiada yang harus difikirkan. Bermain adalah dunia mereka.

Aku hanya memerhatikan dari jauh. Bukan sehari dua, tapi hampir setiap hari aku memerhatikan mereka. Sekumpulan anak-anak seumur pelajar sekolah rendah sedang bergembira bermain. Main kejar-kejar, mungkin. Kaki tidak beralas, baju lencun dek peluh yang merembes. Tapi semua itu tidak perlu dihiraukan. Mereka sedang bergembira. Ya, gembira. Tapi aku tidak melihat dengan kegembiraan, sebaliknya kecewa...

Ini bukan taman permainanmu, adik-adikku. Gelanggang ini bukan taman permainan kalian. Di sini tempat berhimpunnya segala generasi kuman. Di sini tempat berkumpulnya penyakit turun temurun. Di sini bukan taman permainanmu, di sini hospital!



Hospital tempat aku bertugas, sepertinya bukanlah ‘taman larangan’ buat mereka yang masih terlalu rentan terhadap kuman dan bakteri itu. Bukan tidak ada arahan dan papan-papan tanda, tetapi semua itu tidak pernah dihiraukan oleh mereka. Kadang bukan salah mereka, tapi ibubapa. Larangan bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun untuk memasuki kawasan hospital hanyalah sebuah hiasan. Tidak ada yang memandang serius akan hal ini.

Setiap hari kita terpapar terhadap kuman dan sumber penyakit. Udara yang kita hirup sehari-hari penuh dengan partikel-partikel yang dapat merosakkan tubuh kita. Tangan yang kita pakai untuk memegang makanan, juga penuh dengan kotoran yang tak terlihat dengan mata kasar. Tetapi kenapa kita tidak sakit? Kerana Allah telah siapkan ‘tentera pertahanan’ dalam tubuh kita untuk mengatasi musuh-musuh di negeri tubuh kita ini. Tidak cukup dengan siri pertahanan pertama, ada pula siri pertahanan kedua, ketiga dan selanjutnya. Maka tubuh kita tidak mudah sakit. Hanya kadang kala sistem pertahanan kita melemah sehingga musuh dapat menguasai tubuh. Itupun, tidak lama. Tentera-tentera tubuh kembali meraih kemenangan.

Malangnya, pada adik-adik kita terutama mereka yang berusia kurang dari 12 tahun, tentera-tentera tubuh mereka belum cukup terlatih dan kompeten untuk melawan musuh yang hebat diluar sana. Itulah sebabnya, mereka lebih senang mendapat ‘kekalahan’ dalam pertempuran menyebabkan mereka jatuh sakit. Maka secara logiknya, tidakkah anda memikirkan bahawa mereka memerlukan perlindungan yang lebih ketat berbanding orang dewasa? Itulah sebabnya, kenapa anak-anak dilarang memasuki kawasan hospital-sebagai sarang kuman, kotoran dan penyakit.


Di sini bukan taman permainanmu, ia adalah taman permainan kami!





1 comment:

  1. Masing-masing kita punyai "taman permainan" yang berbeza. Namun taman-taman itu menuju ke taman yang sama, InsyaAllah : Taman Syurga

    ReplyDelete