Nov 2, 2008

menjadi pohon yang baik~

Bismillah; Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, hanya dengan izinNya...aku kembali menulis. Beberapa waktu sebelumnya, hari-hariku sarat dengan urusan-urusan yang menuntut perhatian. Tidak sepadat mana sebenarnya, tapi tekanan di minda melumpuhkan aku untuk menulis buat seketika. Saat ini, aku masih diburu waktu untuk mempersiapkan diri menghadapi ujian Forensik beberapa hari lagi. Namun entah kenapa masih ada kekuatan dan nekad untuk menulis.

Kali ni, sekadar ingin berkongsi tentang satu pengisian ruhiah yang aku terima dari majlis pengajian di sini. Rutin kami anak-anak Malaysia di sini (Makassar) menghiasi malam Jumaat dengan majlis bacaan yasin yang diselangselikan dengan pengajian ringkas dari ustaz-ustaz tempatan. Ahlamdulillah, sekali lagi syukur pada Allah kerana memilih hati-hati ini untuk berhimpun di majlis ilmu yang penuh berkat dan rahmat, yang turut dihadiri para malaikat dan disebut-sebut oleh seluruh makhluk di air, di darat mahupun di langit.

Tajuk pengajian kali ni adalah MEMBANGUN NILAI-NILAI TAUHID


Tauhid itu sendiri adalah satu kepercayaan kuat yang tidak berbelah bagi terhadap ketuhanan Allah s.w.t. Ia diekspresikan melalui ibadah yang kita lakukan. Menurut ustaz, orientasi dalam beribadah itu terbahagi kepada tiga. 1) untuk diri sendiri 2) untuk orang lain yakni mendistribusikan manfaat kepada orang lain, dan 3) untuk Allah s.w.t dalam membangun nilai-nilai tauhid dalam diri kita.

Beberapa persoalan yang dilemparkan kepada kami, membuatkan aku sejenak berfikir.

“Kalimah syahadah telah menjadi satu rutinitas dalam hidup kita, apabila kita melafazkannya minimal 9 kali setiap hari dalam ibadah solat wajib kita. Tapi apakah syahadah itu membangun dalam diri kita, yakni terbangunnya tauhid dalam diri kita?”


Sungguh, kalimah syahadah itu bukan satu kalimah yang ringan, yang patut kita sambil lewakan. Malah, kalau kita aplikasikan dalam kehidupan sehari-hari, kalimah syahadah itu adalah kalimah persaksian, sumpah, pengakuan yang sebenarnya tidak mudah. Maka seharusnya kita benar-benar merasakan, menjiwai dan menghayati setiap kata dari pengakuan tersebut. Hadirkah hati kita dalam kesaksian itu? Bertanyalah pada diri sendiri...


“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melaikan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah”


Nilai-nilai tauhid itu sendiri sesungguhnya tidak lari dari kalimah La ilaha illallah. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Satu kalimah yang mampu menggetarkan jiwa-jiwa yang benar-benar mendalaminya. Orang-orang yang mampu menterjemahkan kalimah ini ke dalam kehidupannya sehari-hari adalah orang yang telah membangun nilai-nilai tauhid dalam dirinya.

Bagaimana mungkin orang yang berpegang pada kalimah ini melakukan maksiat?

Bagaimana mungkin orang yang berpegang pada kalimah ini bersikap sambil lewa dalam mengerjakan solat?

Bagaimana mungkin orang yang berpegang pada kalimah ini mengenepikan hukum-hukum Allah?

Tidak sama sekali, kerana mereka benar-benar merasakan kewujudan Allah, kekuasaanNya, merasa peritnya siksaan Allah, merasa takut untuk melupakanNya hatta sedetik pun!
Tidak hairanlah, Nabi saw sendiri menjanjikan syurga kepada siapa yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah.
Tapi jangan keliru. Cukupkah dengan mengucapkan kalimah suci ini membolehkan kita menjejaki syurga? Jawapannya tidak.

Ucapan kalimah La ilaha illallah yang dimaksudkan ini adalah ucapan yang lahir dari hati. Bahasa hari/qalbu yang diekspresikan ke dalam kehidupan sehari-hari menerusi ibadah & prilakunya.
Satu ayat dalam AlQuran yang dikupas oleh ustaz tentang tauhid, yang menarik untuk aku kongsikan di sini adalah firman Allah dari surah Ibrahim ayat ke 24 & 25.

“Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik (Kalimah tauhid – La ilaha illallah) seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat”


Allah membuat perumpaan kalimah tauhid ini seperti pohon yang baik. Apabila kita meletakkan kalimah tauhid itu kepada satu sosok peribadi, maka akan terlihatkan ciri-ciri orang yang beriman; orang yang telah terbangun nilai tauhid dalam dirinya :

1) Pohon yang baik itu sedap mata memandang.
Pohon yang lebat daunnya, banyak buahnya, rendang, segar. Dari jauh pasti sudah terlihat. Dan pasti membuatkan kita tersenyum. Demikian orang-orang yang beriman, tampilannya memberikan aura kebahagiaan kepada orang yang melihatnya. Dia percaya bahawa senyum itu merupakan suatu sedekah maka ia akan sentiasa tersenyum. Dia percaya bahawa ucapan salam itu memeriahkan ukhuwahnya maka ia melebarkan kesejahteraan kepada saudara-saudaranya. Sejuk mata memandang...

2) Pohon yang baik memiliki akarnya kuat
Akar yang memasak dibumi menjadikan pohon yang baik ini tidak mudah patah pabila ditiup badai kencang. Akar yang kukuh ini membuatkan ia segar & sihat apabila mendapat makanan/mineral yang cukup dari tanah. Demikian orang-orang yang beriman, memiliki keimanan yang tak tergoyah dek ujian-ujian dan kepayahan yang melanda. Tetap istiqamah meskipun iman diuji hebat. Mengeluh tidak sekali. Lihatlah sirah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair, Sumayyah dan ramai lagi. Inilah diantara sosok yang beriman, yang memiliki akar iman yang cukup kuat.

3) Pohon yang baik memiliki dahan yang tinggi melangit, daunnya rendang
Dahan yang tinggi, dianalogikan dengan kehidupan orang beriman yang cukup dinamis. Setiap harinya adalah lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Kalau tahun ini dia menaiki bas ke pejabat, tahun depan dia sudah mampu memilik motosikal untuk tujuan tersebut. Kalau semester ini dia mendapat 3.00, semester depan dia sudah mampu mencapai 3.20. Kalau minggu ini dia berjaya menunaikan qiam sebanyak 1 kali minggu depan dia sudah mampu menunaikannya 2 kali.
Daun yang rendang pula menjadi sasaran manusia untuk berteduh. Dalam erti kata lain, memberi manfaat kepada orang lain. Itulah tanda-tanda orang yang beriman.
4) Pohon yang baik sentiasa menghasilkan buahnya tanpa mengenal musim
Bagi penggemar durian, alangkah bagusnya jika durian itu sentiasa berbuah tanpa mengikut musim. Demikianlah juga bagusnya manusia jika dia mampu dan tetap istiqamah menjalankan ibadahnya tanpa mengira musim. Tak perlu menunggu musim peperiksaan untuk menunaikan solat sunat hajat. Tidak perlu tunggu bulan Ramadhan untuk menghabiskan bacaan alQuran 30 juz. Dan tidak perlu menunggu waktu gaji masuk untuk menghulurkan sedeqah kepada fakir miskin.

Subhanallah, alangkah bagusnya jika nilai-nilai ketauhidan itu telah subur dalam diri kita. Ayuh sama-sama kita berusaha untuk menghayati kalimah agung ini.

La ilaha illallah!!

No comments:

Post a Comment