Sep 3, 2008

Risalah untuk Da'ie

Pendakwah perlu membaca & memahami isi Al-Quran supaya berjaya di dalam hidup & dakwahnya. Al-Quran mempunyai disiplin dan cara penafsirannya yang tersendiri. Tafsiran yang terbaik adalah tafsiran yang diambil daripada Al-Quran sendiri. Apabila perincian maksud sesuatu ayat tidak diperoleh daripada Al-Quran, maka sunnah perlu dirujuk untuk memahami maksudnya. Apabila selepas itu maksudnya masih belum jelas, kita perlu merujuk kepada perkataan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w terutama empat khalifah ar-rasyidin, Abdullah ibn Mas’ud & Abdullah ibn Abbas, kerana mereka lebih mengetahui Al-Quran berbanding orang lain.

Dakwah ialah medan berjihad serta ijtihad. Jihad yang sah adalah jihad yang berasaskan prinsip-prinsip Islam. Rasulullah s.a.w bersabda dengan maksud, “Sesiapa yang berjuang meninggikan kalimah Allah, dialah yang berjuang pada jalan Allah.” – Riwayat Bukhari & Muslim

Ketika berjihad, kekuatan & kelemahan diri serta musuh perlu dikenal pasti. Suasana dan persekitaran perlu diambil kira. Semua ini perlu digarap dan digunakan untuk membuat keputusan-keputusan penting.

Perubahan suasana kadang kala memerlukan perubahan hukum. Justeru jihad yang benar memerlukan ijtihad daripada masa ke semasa. Pendakwah memerlukan ilmu yang mantap supaya ijtihadnya tidak menyimpang daripada prinsip-prinsip Islam. Untuk itu, persiapan yang kemas amat diperlukan. Berhubung dengan ini, Imam Sufyan at-Thauri menulis, “Janganlah seseorang itu mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, melainkan ada padanya tiga sifat : Pertama, berlemah lembut dengan apa yang diseru dan dicegah. Kedua, adil dengan apa yang diseru dan dicegah. Ketiga, berilmu berhubung apa yang diseru dan dicegah.”

Imam Al-Ghazali menjelaskan, berdakwah memerlukan persiapan dan adab, dan ia terbahagi kepada tiga iaitu ilmu, wara’ dan baik akhlak. Beliau menulis, “Berkaitan dengan ilmu, seseorang pendakwah perlu mengetahui suasana dakwahnya, batas-batasnya, tempat berlakunya kemungkaran, serta penghalang-penghalangnya, supaya dakwahnya berjalan di atas landasan agama. Wara’ bermakna seseorang pendakwah menjauhi perbuatan-perbuatan salah yang diketahuinya. Berhubung dengan akhlak yang baik, seseorang pendakwah hendaklah berdakwah dengan lemah lembut dan berkasih sayang… Dengan ketiga sifat ini, dakwah menjadi amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah s.w.t. Tanpa ketiga-tiganya, kemungkaran tidak akan tertolak, malah kadang kala dakwah bertukar menjadi kemungkaran, kerana melampaui batas-batas agama.”

Dipetik dari : Kit Kombat Islam untuk remaja; oleh Dr Danial Zainal Abidin

No comments:

Post a Comment