Sep 18, 2010

Buat yang ku sayang~


BAB  (1)
Beberapa minggu yang lalu, kami mendapat berita mengejutkan tentang salah seorang dari saudara kami. Salah seorang dari keluarga jauh kami itu telah ditemui meninggal dunia di dalam keretanya sendiri setelah lehernya dikelar. Arwah baru berusia 24 tahun dan merancang untuk berkahwin tahun hadapan. Innalillah.


Sebelumnya juga, aku mendapat khabar daripada bonda. Salah satu kenalannya meninggal akibat kemalangan jalanraya. Allahyarhamah sedang hamil anak yang pertama dan suaminya pada ketika itu berada di luar negara atas urusan pekerjaan.

Aku juga pernah bercerita tentang seorang nenek yang kematian suaminya ketika arwah sedang tidur. Meninggal dunia ketika sedang tidur.

Seorang  pesakit dikejarkan ke UGD. Terbaring, tidak sedarkan diri. Kepalanya berdarah. Tangannya calar-balar. Kakinya hitam, kotor. Setelah diperiksa, pesakit yang disangka lelaki ini rupa-rupanya seorang perempuan. Respon sangat minimum. GCS 7. Akhirnya disahkan meninggal beberapa jam kemudian. Gadis ini meninggal, kemalangan ketika dalam perjalanan menuju ke pusat hiburan. 

Di hospital tempat aku bertugas/belajar, hampir setiap hari ada pesakit meninggal dunia. Sebahagian daripada mereka memang sudah berada pada keadaan kritikal, namun ada juga yang meninggal dunia secara mengejut. Sedangkan sebelumnya mereka sepertinya sudah bertambah sihat.

Ada yang meninggal disebabkan kerosakan yang amat dahsyat. Tapi ada juga meninggal hanya kerana tercekik tulang. Siapa sangka?


“Dimanapun kamu berada, KEMATIAN AKAN TETAP MENDAPATKAN KAMU, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kuat....” (An-Nisa’:78)


BAB (2)

Belumpun setapak aku menjejak ke ground floor RUSUN, dah ternampak si uda dan dara di atas motor. Meluncur laju meninggalkan perkarangan. Entahlah nak pergi mana. Bertudung atau tidak, berbaju kurung, berseluar atau berskirt, sama saja.

Belumpun sejam aku berada di Mall Panakkukang atau MTOS, ternampak pula sepasang demi sepasang ‘merpati sejoli’ berbelanja. Berbaju warna yang sama, mungkin supaya hati pun warna sama. Jalan beriringan berpegangan tangan.  Tak cukup tangan, pinggang dan bahu pun nak disapu.

Belum panas pun punggung aku duduk di Solaria, Roti Canai Mahathir dan Rumah Makan Damai, bersua lagi dengan  mereka-mereka yang sangat aku sayang. Tapi malangnya mereka tidak tahu bagaimana menyayangi diri sendiri.

Aku tahu mereka bukan saudara kandung yang menghalalkan mereka berkepit berdua-duaan begitu. Dan aku juga tahu mereka BELUM suami isteri yang dapat membuatkan aku serta seisi langit dan bumi untuk  cemburu. Ia perkara yang TIDAK BIASA tetapi telah menjadi BIASA di mata-mata mereka. Ia perkara yang HARAM, tetapi telah menjadi HALAL di mata-mata mereka. Maka bertepuk tanganlah SYAITAN durjana.


BAB (3)

Kamu semua pelajar perubatan yang pandai dan handal. Cemerlang dan terbilang. IQ 120, malah lebih tinggi. Fikirkanlah sendiri apa huraian yang terbaik untuk BAB seterusnya.
Sebelum tidur malam nanti, berbaringlah. Tutuplah mata dan tutuplah dirimu dengan selimut atau apa pun ia. Kematian itu TERLALU DEKAT. Apa akan terjadi kalau kita dijemput ketika kita sedang melakukan DOSA dan MAKSIAT kepada Allah. Sanggup?


Note :


Bercinta dan berkasih sayang tidak salah kerana ia sebuah fitrah yang sangat halus dan suci. Tapi bersikap pandailah dalam mengekspresikan perasaan itu. Jika kamu sayang dia, tentu kamu tidak sanggup melihat dia menjadi BAHAN BAKAR API NERAKA nanti.

“..dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.” (Al-‘Imran : 135)


*Peringatan terutama buat diri sendiri.

Sep 11, 2010

Nostalgia

Aku sedang khusyuk menyiapkan projek kecilku. Hiruk pikuk dalam ruang yang tidak terlalu besar itu sedikitpun tidak mengganggu konsentrasi. Tidak seperti biasa, hari Jumaat minggu ini aku sangat bersemangat. Tiba-tiba ada orang memanggil.

"Maimanah, tadi ayah kamu telefon pejabat. Dia kata dia nak ambil kamu sekejap lagi. Ada emergency nak balik kampung..”

Hmm.. aku terkesima seketika. Ada apa ye.. soalan yang belum ada jawapannya. Tanpa membuang waktu aku segera menuntaskan pekerjaan yang belum selesai dan mengemas beg. Keluar menuju ke anjung, menunggu Abah.

Kereta abah melaju, menuju ke Negeri Sembilan. Jiran kami di Seremban yang juga merupakan teman baik abah telah kembali ke rahmatullah. Tujuan kami untuk menziarahi keluarga dan pusaranya.

“Abah, besok Manah ada pertandingan nasyid. Manah kene pergi la abah, tak boleh tak pergi..” Aku merungut dalam kereta. Pertandingan Nasyid antara kelas itu sangat penting untuk aku hadiri. Kami telah berlatih setiap petang di padang sekolah. Tak mungkin aku melepaskannya begitu saja. Mereka memerlukan aku.

“Ok, tak pe..nanti kita arrange macam mana..” relax Abah menjawab. Aku menarik muka. Masam. Merajuk.

Sebelah malamnya, kami menginap di rumah saudara. Membuat ‘mesyuarat kecil’ berbincang mencari penyelesaian kepada permasalahan ‘besar’ si Maimanah ni.. Akhirnya, (entah macam mana proses membuat keputusan ni, aku tak mampu ingat lagi)

“Macam ni, besok pagi Maimanah naik flight dengan Along balik Penang. Pertandingan tu pagi kan? Maimanah telefon kawan kamu, esok mintak giliran paling last supaya sempat” Abah memutuskan.

Ha? Aku tercengang. Budak darjah 4 dengan budak tingkatan 1 kena naik kapal terbang sendiri? Alah, tak kisah lah..asalkan aku dapat ikut pertandingan nanti.

Di airport, Abah mendaftarkan kami sebagai penumpang pesawat MAS (ketika itu belum ada Air  Asia) dengan pakej Young Passenger. Kami dilayani seperti VIP, diiring oleh kakak-kakak pramugari yang cantik dan seksi menuju ke bilik menunggu. Di atas pesawat pula, kami ditempatkan di tempat duduk paling hadapan dan diberi hadiah MAS yang istimewa. Seronoknya naik kapal terbang!

Sesampainya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Pak Ngah menunggu dengan van merahnya. Kami bergegas pulang ke rumah. Along carikan kain batik untuk ‘seragam nasyid’ku dan aku mengenakan ‘make-up’ seadanya. Nanti di sekolah ada juru make-up yang akan touch up lagi.

Alhamdulillah, aku sempat berada di tempat tepat pada waktu. Dewan Sekolah Rendah Seri Permai sudah dipenuhi dengan murid-murid, cikgu serta ibu bapa. Aku dan kawan-kawan membuat persiapan terakhir sebelum tampil di pentas. Bernasyidlah kami dengan penuh semangat.

Akhirnya kami dinobatkan sebagai juara Pertandingan Nasyid katagori darjah 4, dan kami turut memperoleh markah tertinggi secara keseluruhan! Alhamdulillah, berbaloi tiket MAS kami. :)

Selesai.

Note: saja nak cerita, tiba-tiba teringat :P


 
Gambar hiasan-Maimanah, Usayd & Khansa'