Jan 31, 2010

Kasut baru

Ada cerita dalam cerita, ada kisah dalam kisah..

Satu hari, aku ke kedai untuk mencari sepasang kasut baru. Kasut yang boleh aku pakai untuk ke kuliah setiap hari, kerana kasut yang lama sudah rosak.

Tempat tujuan pastilah sebuah kedai yang terpercaya. Aku biasa membeli di sana dan aku berpuas hati dengan produknya. Tak perlu terlalu mahal, tapi tidak juga terlalu murah. Barang yang terlalu murah kadang lebih sinonim dengan kualiti yang rendah.

Aku melihat sekali imbas. Hal yang pertama aku perhatikan adalah rekabentuk kasut yang sesuai dengan hasratku. Yang sesuai dengan status ‘kasut kuliah’. Yang terlihat kukuh dan fleksibel. Juga warnanya. Hmm..ada beberapa pasang kasut yang kelihatan agak bagus. Aku melihat dengan lebih teliti.

Berminat dengan sepasang kasut berjenama tempatan, aku cuba memakainya. Agak kecil. Aku minta ukuran yang lebih besar. Hak pengguna, aku mencari barang yang bagus. Penjual kembali dengan kasut seukuran kakiku. Ku sarungkan ke kaki. Just nice. Cuba berdiri, berjalan dan berpusing memperagakan kasut – mungkin bakal kasut baruku. Selesa? Hmm..boleh la. Tapi agak ketat. Kata penjual, kasut tersebut akan mengembang. Jadi kasut ketat itu akan bertambah longgar seiring waktu. Setelah mempertimbangkan harga, warna dan rekabentuk, aku setuju membelinya.



Hari pertama kuliah di semester baru, aku melangkah dengan semangat baru & kasut baru. Langkah terasa agak berbeza. Maklum, kasut baru. Belum biasa. Tapi aku senang dengannya. Setiap kali bertemu rakan-rakan, sempat aku memberitahu. Ini kasut baru aku! :) Bukan menunjuk, sekadar berkongsi kegembiraan.

Tapi menjelang petang, kaki mula terasa sakit. Kasut baru seakan mencengkam urat-urat kakiku. Ketat! Sehingga untuk berjalan pun aku rasa tidak sanggup. Sekiranya diberi pilihan, mahu saja aku berjalan dengan kaki ayam. Tapi tidak mungkin.

Sesampainya di rumah, kasut baruku secepatnya aku tanggalkan. Hahh. Sakit, betul-betul menyakitkan. Tapi tak bererti aku tidak menginginkannya. Aku masih ingat kata-kata si penjual, kasut ini akan mengembang nanti. Sabarlah sikit...

Hari kedua kuliah, aku merehatkan kakiku dengan hanya memakai kasut kuliah yang lama. Walaupun sudah rosak, ia masih dapat melindungi kakiku. Selama seminggu, hanya dua hari aku memakai kasut baru. Sebab pertama, aku akan kesakitan kalau memakainya setiap hari. Kedua, aku tetap mahu memakai kasut baru itu supaya ia cepat mengembang, supaya cepat aku merasai keselesaannya. Dan ketiga, aku tetap ingin memakai si kasut baru yang aku yakin ia memang sepasang kasut yang bagus!

Setelah itu, aku sudah mampu memakainya dengan lebih kerap. Kesakitan masih terasa, tapi sudah berkurang dan dapat ditahan. Kalau sakit sangat, boleh buka sekejap. Lepas tu pakai la balik.. Aku harus tetap sentiasa memakainya. Sehinggalah akhirnya setelah masuk bulan kedua, kasut baruku sudah cukup selesa untuk dipakai setiap hari.

Hari ini, kasut baruku (yang aku tetap ingin memanggilnya ‘kasut baru’) masih setia menemaniku ke kuliah setiap hari, dan aku akan setia dengannya~

[End of story]

Ada cerita dalam cerita~Ambillah mana-mana cerita yang kamu mahu.

Jan 3, 2010

Duhai kasih:.

Kasih dan cinta tidak memerlukan batasan waktu tertentu untuk dizahirkan
Namun kehangatannya kadang lebih terasa pada hari-hari yang istimewa
Duhai kasih, izinkan aku menyentuh hatimu dengan kuntuman rinduku~

Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran


Khansa'
31 Disember 1988


Abah
2 Januari 1960



Aku sayang, kasih & rindu kalian~~


Jan 2, 2010

waktunya untuk kembali

Tarikh istimewa, 01-01-10 akan berlalu beberapa minit lagi. Setelah itu, bermulalah satu lagi hari baru dalam sejarah kehidupan. Di sana sini orang sibuk merayakan awal tahun, menyambut 2010. Dengan cara masing-masing. Tapi aku tak ingin membicarakan tentangnya. Aku ingin membawa pembaca kembali ke duniaku, beberapa tahun dahulu ketika aku masih dibangku sekolah.

Masuknya tahun yang baru memang sesuatu yang besar maknanya bagiku, ketika itu. Bukanlah besar sangat, kalau ia kerana ‘tahun baru’ itu sendiri. Tapi ia lebih bermakna, kerana memasuki tahun baru bererti sudah hampir tiba waktunya untuk aku kembali ke sekolah. Ya, aku suka ke sekolah dan setiap cuti akhir tahun aku tidak sabar menunggu bilakah lagi akan kembali ke sekolah :)



Masih ada beberapa minggu sebelum kembali ke sekolah, aku sudah mula mencongak. Apakah yang akan aku hadapi di tahun yang baru. Aku akan duduk di meja paling hadapan, sudah tentu bersama teman-teman karibku. Aku akan memiliki buku-buku yang baru dan cantik. Oh ya, aku pasti nanti dibelikan kasut baru, dijahitkan baju dan tudung baru yang putih berseri..segalanya baru. Yang paling menyeronokkan, aku akan bertemu kawan-kawan dan cikgu-cikgu di sekolah!

Wah! Dunia semalam sungguh terasa indah bila dikenangkan kembali. Dalam keseronokan itu kadang tak terasa susahnya Fizik dan Matematik Tambahan (Memang tidak susah berbanding mata pelajaran sejarah..hehe) Dalam keasyikan itu tak terasa penat dek padatnya rutin pelajar asrama. Kerana di sanalah aku belajar untuk menghadapi kehidupan di luar nantinya.

Dan sekarang, semua itu adalah masa silamku. Boleh dikenang. Bukan untuk dilewati kembali, tapi sebagai inspirasi untuk perjalanan ke depan. Aku perlukan keikhlasan itu. Semoga aku juga dapat menikmati detik-detik ‘sekolahku’ yang sekarang :)

Untuk adinda Syaimaa’, selamat kembali ke sekolah. Mulakan dengan niat yang ikhlas, semangat yang mantap dan kekalkan momentum dengan azam dan cita-cita. Semoga lebih cemerlang. Enjoy your time!



Jan 1, 2010

It's time!

Pagi ini terjaga dek sms yang bertalu-talu masuk.

Sms dari Dura :
Salam khansa', sanah helwah. Semoga pertambahn umur seiring dgn pertambahan amal. Semoga ukhuwah antara kita semua semakin erat. Aminn..
Sms dari Husna :
Sanah helwah ya gamilah. Akhirnya 21 dah kan? Moga rahmat Allah di sisimu tika gembira sedih, senang susah, sihat sakit, muda tua, kaya miskin, dunia akhirat. Sayang ang sangat!
Sms dari Khaulah :
Salam.kak khansa, selamat hari lahir.. Semoga mumtaz dalam exam, hidup n akhirat jugak.. 
Juga terima e-card dari mak & abah yang dirindui :


Khansa', Selamat menyambut Hari Ulangtahun Kelahiran yang ke 21. Semoga sentiasa dalam keberkatanNya, tetap iman, tinggi semangat juang seperti al-khansa', dikurniakan kesihatan yang baik, berjaya dunia dan akhirat... Semoga Khansa' thabat pada jalanNya...

And, dapat phone call direct from Malaysia, dari Abu Uzayr.

Jazakillah keapda semua atas ingatan dan doa kalian. Maaf, tak tertulis semuanya.

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada Rabbul 'Alam, masih memberi peluang untuk aku menghirup udaranya yang segar, masih diberi nyawa hingga ke saat ini. Dan 'hadiah' yang paling besar dari Dia, sudah pastilah rahmat dan hidayahNya, untuk aku masih berada dalam nikmat iman dan Islam.
Alhamdulillah, alhamdulillah.

Dah masuk tahun baru pun, masa untuk refleksi diri, tanyalah kembali pada diri :

1. Siapakah yang menciptakan diriku ini?
2. Untuk apa aku dijadikan?
3. Bagaimana untukku memenuhi tujuan penciptaanku?

4. Ke manakah aku selepas kematianku?

Dah lebih 20 tahun pun kita berada di dunia ni. 20 tahun juga bergelar MUSLIM.
Kita pasti ke kita ada jawapan untuk semua persoalan-persoalan ini? Atau pun kita dah lupa asal usul, lupa tujuan kita dihidupkan?

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
[23:115]

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu?"
[51:56]

"Ingatlah ketika Rabbmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka berkata: Apakah patut Engkau menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. "
[2:30]

Renung-renungkanlah, muhasabah kembali, berapa banyak yang telah kita sumbangkan untuk Islam, selama kita hidup dengan title MUSLIM..

Tertarik untuk berkongsi kata-kata sheikhuna, As-Syahid Al-Iman Hassan Al-Banna dalam risalahnya:
Bersamalah kita memohon kepada Allah agar kita beralih daripada medan bercakap kepada medan bekerja, medan mengatur strategi dan kaedah kepada medan melaksana dan mempraktikkan. Sudah sekian lama kita habiskan masa berucap dan bercakap. Masa menuntut kita supaya segera melangkah ke arah yang serius dan produktif

Selamat bermuhasabah..!



cakes sponsored by hana =)



hand-made by hana



from yana.. comel kucing tu, boleh kawan ngan si deco



from kay.. tq!


from mimie.. cute!


"Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah pertambahan usia kami ini satu rahmat bagi kami, untuk terus tunduk dan beribadah kepadaMu, untuk terus menjadi penegak agamaMu, jauh sekali menderhakai segala perintahMu.


Ya Allah, jadikan kami di kalangan mereka yang beramal dengan apa yang diperkatakan, jadikan kami di kalangan orang-orang yang bekerja di jalanMu, tetapkan hati-hati kami untuk terus thabat dijalanMu, dan matikanlah kami sebagai syuhada dalam perjuangan menegakkan kalimahMu. Ameen ya Rabb.."