Feb 17, 2010

Abdul Aziz Rantisi

Beberapa hari yang lalu, aku berkesempatan menghadiri majlis Aqiqah seorang bayi lelaki yang usianya mencecah tujuh hari. Meskipun majlis tersebut tidaklah sehebat majlis Engku Aleesya mahupun Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, namun aku dapat merasakan suasana gembira yang penuh dengan nuansa syukur kepada Sang Pencipta. Yang lebih menarik, anak kedua kepada pasangan kenalanku ini diberi nama seperti nama seorang tokoh yang bukan calang-calang orang. Abdul Aziz Rantisi. MasyaAllah...!


Siapa Abdul Aziz Rantisi?

Ramai doktor di muka bumi dengan berbagai macam keahlian dan kepakarannya, tetapi hanya sebilangan kecil di antara mereka yang menghafal Al-Quran dan merindukan syahid di jalan Allah. Di antara bilangan yang kecil itu adalah doktor Abdul Aziz Rantisi. Beliau dilahirkan pada 23 Oktober 1947 di Desa Bina, terletak di antara Askalan dan Yafa. Memiliki nama lengkap Abdul Aziz Ali Abdul Hafidz Ar Rantisi, merupakan seorang doktor pakar anak yang pernah bertugas di Hospital Naser, di sekitar kem Khan Yunis, Jalur Gaza pada 1976.

Beliau aktif dalam beberapa organisasi, diantaranya sebagai anggota Komiti Islam, Organisasi Perubatan Arab di Jalur Gaza. Menjadi pensyarah di Universiti Islam Gaza sejak ia dibuka pada tahun 1987.

Abdul Aziz Rantisi merupakan murid kepada Syekh Ahmad Yasin, tokoh spiritual, pemimpin pejuang Palestin melawan penjajah Zionis Israel di abad moden ini. Di bawah bimbingan Syekh Yasin, Abdul Aziz Rantisi dapat memahami erti kehidupan dan perjuangan meraih kejayaan yang sebenarnya, tegar dalam menghadapi cabaran, tidak terbuai dengan godaan dunia dan yang lebih penting lagi adalah bercita-cita untuk mati syahid.

Beliau pernah ditahhan di penjara Kaffar Yunah bersama sang guru dan beberapa pejuang Palestib lain dari Hamas. Di penjara tersebut Abdul Aziz Rantisi melakukan muraja'ah (mengulang) Al-Quran yang sudah dihafal sejak tahun 1990.

Bagi merealisasikan cita-citanya untuk mati syahid, selain berdo'a, beliau berjuang dengan ikhlas, tidak cinta dunia, tidak takut kepada sesiapa pun kecuali Allah, tidak mahu berkompromi dengan Zionis Israel, penjajah yang akan menghancurkan masjid Al-Aqsa, qiblat umat Islam pertama.

Ketika Syekh Ahmad Yasin syahid, Isnin, 22 Mac 2004 kerana diserang roket penjajah Zionis Israel, maka kepemimpinan Hamas digalasnya dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Beliau sebagai qiyadah/pemimpin pengganti Syekh Ahmad Yasin sangat hati-hati terhadap wang atau harta benda dan amanah merupakan sebahagian dari hidupnya, sehingga beliau ditsiqahi (dipercaya) oleh pengikut dan pendukungnya.

Ada kata-kata hikmah yang menjelaskan, tiada tsiqag tanpa amanah, yang membawa maksud tidak mungkin seseorang akan percaya kepada seseorang yang diberi amanah sebagai pemimpin jika dia tidak amanah dalam bermuamalah dengan orang bawahannya, bersilat lidah untuk memperkaya diri atau menyelamatkan diri sendiri.

Kehidupan Abdul Aziz Rantisi berakhir setelah dihentam roket penjajah Zionis Israel. Ketika badannya dipenuhi darah, kondisinya mula melemah. Namun beliau sempat menunjukkan sesuatu ke kocek seluarnya. Pengawal beliau yang berada di sana ketika itu awalnya tidak memahami apa yang cuba ditunjukkan. Pengawal tersebut memasukkan tangannya ke kocek seluar sang doktor, dan terlihatlah beberapa keping wang. Abdul Aziz Rantisi menyampaikan pesan, agar memberikan wang tersebut kepada si fulan. Demikianlah Allah memberikan kesempatan dan peluang kepada beliau untuk meninggalkan dunia tanpa beban hutang serta menunaikan amanah untuk disampaikan kepada yang berhak.

Bahkan sehari sebelum kematiannya, beliau sempat mengambil wang simpanannya dan menghitung hutang yang akan dilunasinya. Selain itu beliau juga memberikan bantuan untuk menampung biaya pernikahan anaknya. Setelah itu beliau berkata, "Sekarang, jika saya menemui Tuhanku, maka aku dalam keadaan bersih. Saya tidak memiliki apa-apa dan tidak ada tanggungan apa-apa"

Pada hari Sabtu, 25 Safar 1425/17 April 2004, sang doktor yang merindui syahid akhirnya mendapat apa yang dicita. Beliau meninggal setelah dihentam roket Zionis laknatullah.

Abdul Aziz Rantisi b Kasmiri
6 Feb 2010

Dr Abdul Aziz Rantisi
1947-2004

Innalillahi wainna ilaihi roji'un.

Maka tercapailah keinginannya seperti kalimat yang pernah diucapkannya : "Kita akan mati suatu hari nanti, tidak ada yang dapat mengubahnya. Jika maut disebabkan apache (helikopter perang buatan Amerika) atau serangan jantung, saya lebih rela memilih apache.."

---
Sumber  dari sini

Semoga bermanfaat!

Feb 1, 2010

si hidung merah

“Kehidupanku tidak sesenang orang lain. Aku tidak mampu bersekolah kerana kedua ibu bapaku tidak mampu menanggung perbelanjaan sekolah. Sebagai anak sulung, aku perlu membantu mak dan ayah mencari wang untuk kehidupan. Setiap hari, aku berjalan disepanjang pelabuhan untuk mencari sisa-sisa tangkapan nelayan untuk aku jual di pasar. Dari hasil jualan itu nantilah aku dapat membeli makanan untuk kami sekeluarga... Tapi kehidupanku berubah bila aku bertemu dengan Kak Den. Kak Den mengajar aku dan kawan-kawan ilmu silap mata dan pertunjukan sarkas. Setiap hari kami berkumpul di halaman rumah untuk berlatih. Kak Den juga mengajar kami bahasa Inggeris. Kami juga bertuah bila Kak Den dan kawan-kawannya membantu kami mendapatkan wang sehingga kami dapat kembali ke sekolah. Hidup aku kini berubah, terima kasih Kak Den..” (Telah diubahsuai dan dialih bahasa ke bahasa Malaysia)

Mata berkaca. Nafas terasa sesak, dada terasa berat menahan sebak. Simpati. Akhirnya berderai juga air mata...





Sedutan video itu sungguh menyentuh perasaan. Memang begitulah realiti kehidupan sebahagian masyarakat di Indonesia. Berapa ramai anak-anak yang tidak mendapat pendidikan kerana keterbatasan wang. Hidup mereka yang seharusnya penuh dengan keseronokan, keceriaan dan pembelajaran terpaksa dilalui dengan jerih dan payah mencari sesuap nasi.

Kak Den yang disebut di sedutan video tadi adalah seorang warganegara Amerika yang datang ke Indonesia mengikuti keluarganya. Beliau sempat bersekolah di Indonesia sebelum melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti di Chicago. Setelah beberapa lama, beliau terpanggil untuk kembali ke Indonesia. Ada sesuatu yang menarik beliau untuk kembali ke sini, itulah naluri kemanusiaannya.

Kehidupan Kak Den (nama penuh tidak diketahui) di Indonesia telah banyak dipertontonkan dengan sketsa kehidupan anak-anak di sana yang tidak bernasib baik. Keprihatinannya menggerakkan hati beliau untuk mendekati anak-anak ini. Kak Den yang fasih berbahasa Indonesia mulanya tidak diterima orang warga setempat kerana ragu-ragu. Namun setelah beberapa waktu, Kak Den semakin mendapat kepercayaan mereka. Dari situ, Kak Den berjaya menubuhkan sebuah kumpulan ‘sarkas hidung merah’ yang telah beberapa kali membuat persembahan di beberapa tempat di Indonesia. Kak Den turut membantu mereka mencari dana untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan mereka. Menurut beliau, bukan ‘sarkas hidung merah’ yang ingin beliau perjuangkan, tetapi beliau ingin melihat anak-anak ini lebih berkeyakinan melalui kehidupan mereka. Dalam usia yang masih muda, banyak potensi dan peluang untuk mengubah kehidupan menjadi sesuatu yang lebih bermakna.



Kumpulan hidung merah bersama guru mereka, Kak Den membuat pertunjukan di rancangan TV Rapor Idola Cilik 3. Meskipun ada yang silap langkah, ada yang tersalah baling, dan ada yang terlepas gegelang warna warni, namun pertunjukan mereka cukup menarik dan menghiburkan. Terserlah kesungguhan mereka untuk memberikan yang terbaik untuk seisi dewan. Pertunjukan tersebut bukan hanya menunjukkan bebola dan gegelang warna warni yang dibaling dan disambut, tetapi juga menyisipkan nilai kasih sayang ke hati-hati penontonnya.

Nilai keprihatinan dan kepedulian itu ada pada semua orang. Namun alangkah baiknya jika nilai ini ditambahmaniskan dengan nilai-nilai agama dan ketuhanan. Selain membawa mereka ke kehidupan dunia yang lebih baik, ia juga memberikan jaminan kebahagiaan di akhirat kelak. Siapakah yang akan memperkenalkan nilai-nilai tersebut pada mereka? Silakan, para da’ie sekalian. Ambillah bahagian masing-masing.

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dah berkata, “Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)”?