Jun 29, 2009

Rejab datang lagi


Rejab datang lagi. Subhanallah. Baru sangat rasanya melewati Rejab, Sya'ban & Ramadhan yang lalu.

Istimewakah bulan ini? Puasa yang bagaimana yang di sunnahkan?

Ada yang keliru tentang bulan Haram ini. Ada yang salah mengerti. Dan ada yang tidak tahu.

Saya menemui link ini yang menjelaskan tentang puasa di bulan Rejab. Semoga bermanfaat!


Berkenaan dengan puasa di bulan rejab
Oleh:Aljohori
www.ibnuyusofaljohori.blogspot.com

Disini saya mengeluarkan pendapat2 para ulama berkenaan dengan Kelebihan puasa dibulan rejab yang di uar-uarkan...Semua kenyataan ini disertakan dengan sumber2 nya agar semua para pembaca dapat membuat rujukan.....Diharap artikel ini dapat memberikan kita kesedaran didalam mengamalkan sesuatu ibadah dalam agama Islam..sekian.

Shaikh Yusuf al-Qaradhawi:

a) Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Beliau berkata:[4]
Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebut oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36), iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Inilah bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat hadis sahih bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang yang memiliki keutamaan.

b) Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakannya adalah dha‘if dan maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung:
Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah hadis fadilat Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku", namun hadis ini mungkar dan sangat dha‘if, bahkan sebahagian besar ulama' mengatakan hadis ini maudhu’, yakni dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun agama. Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadilat Rejab yang menerangkan sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat ganjaran sekian-sekian, sesiapa beristighfar sekali maka baginya sekian-sekian ganjaran…..semua ini adalah satu pelampauan dan pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu hadis adalah dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan. Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar terhadap amalan yang biasa atau azab yang berat untuk kesalahan yang ringan termasuk isyarat bahawa hadis tersebut adalah dusta.

c) Oleh itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita sebagai orang Islam wajib mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca. Tidak boleh bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding buku-buku yang hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber dan darjatnya.


Shaikh al-Sayid Saabiq:

Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut:[5]

Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang melebihi bulan-bulan lain melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram.

Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram semuanya memiliki fadilat yang sama darjatnya.



Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?

Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan, bulan apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjawab dengan mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:[6]

Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Haram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya terdapat satu hari yang terima taubat daripada satu kaum dan diampunkan padanya kaum (yang lain).”

Berdasarkan hadis ini, dianjurkan berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.

Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti besar Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau menjawab:[7]

Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat) pada bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa pada 10 hb Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika seseorang ingin berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa yang khusus, ia tidak mengapa. Adapun bulan Allah al-Haram, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.”
Maka apabila berpuasa pada bulan-bulan tersebut maka ia adalah baik, atau berpuasa pada 9, 10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga dibolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban.

Shaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:[8]

Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.

Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh" selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).

Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat). Wa Billahi Tawfiq.[9]


Kesimpulan

1. Hadis-Hadis keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya adalah dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis ini adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.[10]

2. Kita dilarang mengkhususkan hari atau malam tertentu melainkan jika pengkhususan tersebut berasal daripada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).

3. Tidak ditemui dalil bahawa bulan Rejab memiliki fadilat yang khusus, yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan haram.

4. Demikian juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan solat, puasa, zikir, ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan Rejab.
_____________________________________
Nota Kaki:

[1] Budiman Radzi - Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar: Muzakkir Enterprise, 1990.

[2] Tafsir al-Jalalain. Harf.com. (URL: http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp)

[4] Fatwa IslamOnline - Kesahihan Fadilat Rejab.
(URL : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308)

[5] Fiqh al-Sunnah (Beirut: Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995. Cetakan khas dari manar Al-Dauliyah), jld. 1, ms. 596.

[6] Al-Fatawa (Kaherah: Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000), ms. 371
Sanad hadis ini dha‘if, rujuk Musnad Ahmad yang disemak oleh Shaikh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan, hadis no: 1322 (Musnad ‘Ali bin Abi Thalib). Walaubagaimana ia memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1163 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan Puasa pada bulan Haram) daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” (Hafiz Firdaus)

[7] Majmu' Fatawa (Riyadh: Dar Al-Watan, 1996) ms. 269

[9] Untuk memudahkan kefahaman para pembaca, orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan:

1. Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah sunnah.

2. Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan kerana fadilat Rejab tetapi kerana hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini adalah sunnah.

3. Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan bulan Rejab kerana fadilat Rejab. Ini bukanlah sunnah.

4. Mereka yang berpuasa secara berterusan daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini bukanlah sunnah.

5. Mereka yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab. Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab.

6. Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya. (Hafiz Firdaus).

[10] Kenapakah ia satu bentuk pendustaan? Rujuk risalah berikutnya berjudul Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya.

Gerabak Interna [1]

Bismillah..

Dah lama rupanya teratak ni tak ‘terhias’ dengan artikel/post yang panjang. Cebisan-cebisan waktu yang ada hanya sempat diisi dengan beberapa post pendek. Baiklah~~ insyaAllah kali ni kalian akan ‘menikmati’ artikel panjang dari BondingSisters [panjang pendek tak penting pun kan, asal ada manfaatnya :)~]

Alhamdulillah, sudah seminggu aku ‘bergelut’ di bagian Ilmu Penyakit Dalam. Bagian yang cover hampir semua penyakit. Minggu awalnya cukup padat. Hanya 38 jam bebas dari tugas di hospital, sepanjang 168 jam pada minggu pertama di sini. Penat, memang penat. Tapi berbaloi. Banyak pengalaman, biar baru satu minggu..
Sibuk ya?
Pengalaman I

Setiap pagi aku bersua dengan orang-orang yang terlantar di katil. Di tangan mereka terpasang infus. Muka pucat. Sebahagiannya kurus. Wajah lesu. Pesakit-pesakit dibawah tanggungjawabku kebanyakannya menderita penyakit ginjal. Ada batu di ginjal mereka, menyebabkan fungsi organ penting tersebut terganggu. Ginjal tidak mampu membersihkan darah dengan sempurna. Sebahagiannya perlu menjalani hemodialisis (cuci darah) secara rutin, 2 hingga 3 kali seminggu.

Setiap hari, tangan-tangan mereka aku ‘belai’ dengan sphygmomanometer (alat pengukur tekanan darah) dan termometer digital kuningku.

“Brapa dok tensiku...?” lemah suara Pak R. Janggut dan misainya yang tidak terurus membuatkan dia kelihatan lebih tua dari usianya. Dah agak, dia mesti tanya soalan tu..

“Hmm..masih 80 pak..” berat, tapi aku perlu menjawab pertanyaannya. Aku tetap menunduk, pura-pura memeriksa tubuh longlai itu. Tak tegar aku melihat wajahnya yang semakin mencuka. Adiknya juga.

“Dok, begini dok ya.. kami ini datang dari jauh. Dari Ambon. Sudah lama juga kami di sini. Mintak tolong dok ya, supaya cepat...” Si adik pula bersuara, mendekat ke arahku yang masih memeriksa abangnya.

“Iya pak, saya mengerti. Kami juga sudah usaha bagaimana supaya naik tekanan darahnya. Sudah dikasi masuk cairan...mudah-mudahan sebentar siang naik tensinya..”

Pesakitku yang satu ini menghidap Chronic Kidney Disease stage V. Kedua ginjalnya sudah rosak akibat tumpukan batu yang besar. Kencingnya juga terasa sakit gara-gara batu yang turut menyempitkan saluran keluar tersebut. Beliau perlu di hemodialisis. Tapi malangnya, tindakan ini tertunda hampir seminggu kerana tekanan darahnya yang rendah. Hemodialisis hanya boleh dilakukan jika tekanan darah sistole melebihi 100mmHg. Sabarlah, saudaraku!

Tidakkah apa yang dihadapkan padumu ini menjadikan kamu lebih bersyukur? Bersyukurlah dengan nikmat kesihatan yang masih menjadi milikmu..!
Pengalaman II

“Kak, ada statusnya Pak A? Mau disuntik lantusnya dulu...” Malam itu aku ke Lontara 2 (bahagian Bedah) untuk menyuntik insulin pada pesakit kencing manis di situ.

Manusia memerlukan glukosa sebagai salah satu sumber tenaga bagi tubuh. Glukosa yang diperoleh dari makanan akan diproses dan dibawa masuk ke dalam sel-sel oleh sistem pengangkutan yang cukup kompleks dan unik. Ada di situ namanya hormon insulin, yang menggerakkan sistem pengangkutan tersebut. Namun hormon penting ini ‘mogok’ pada pesakit-pesakit kencing manis (Diabetes Mellitus, DM). Tubuh mereka tidak mampu menghasilkannya bagi tujuan tersebut. Akibatnya, glukosa akan menumpuk di dalam darah dan memberikan dampak yang negatif pada tubuh. Sebagai penanganannya, mereka diberikan bantuan insulin dari luar agar hormon ini kemudiannya dapat mengangkut glukosa masuk ke sel-sel tubuh.

Disebabkan pesakit DM ini memerlukan insulin sepanjang hidupnya, mereka diajarkan supaya mampu menyuntiknya sendiri setiap kali sebelum makan. Kini terdapat alat suntikan insulin berbentuk pen, yang mudah di pakai. Alat inilah yang kami pakai di sini untuk menyuntik pesakit-pesakit DM setiap hari.
NovoPen. Insulin berbentuk pen. Hanya suntik!

“Tadi pagi kenapa Pak A tidak disuntik, dik?” Senior itu kembali bertanya kepadaku.

“Gula darahnya tidak terkontrol, dik.. Minta tolong dik ya, diperhatikan ini. Jangan sampai terlewatkan..” Jelas beliau tanpa sempat aku berkata apa-apa. Entah, mungkin coass yang ditugaskan pagi tadi terlupa, atau sengaja melupakan?

Memang betul, kadang sebuah rutin/kebiasaan menghakis makna dari perbuatan tersebut. Sudah terlalu biasa menyuntik pesakit-pesakit, membuatkan pekerjaan tersebut kelihatan amat mudah dan mula di anggap remeh. Sedangkan, 0.8 ml insulin yang meresapi ke tubuh setiap pesakit itu amat bermakna dalam kehidupan mereka. Semoga aku terhindar dari kealpaan tersebut.


Pengalaman III

Kamar coass adalah tempat kami ‘bersantai-santai’ di saat bertugas di hospital. Kalau ada keluhan dari pesakit ataupun pesakit baru, jururawat akan datang memaklumkan. Demi kenyamanan, bilik tersebut dilengkapi dengan air-cond dan TV.

Satu hari aku dan teman-teman berkesempatan menonton TV, yang kebetulan sedang menyiarkan Debat Calon Presiden (Debat Capres) yang melibatkan ketiga-tiga calon Presiden Indonesia – Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), Jusuf Kala (JK) dan Megawati Soekarnoputri. Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia semakin hampir, dan suasana semakin hangat.

Debat tersebut memberi ruang kepada ketiga-tiga calon Presiden itu untuk mengemukakan pendapat masing-masing tentang persoalan negara dan rakyat yang diajukan. Seluruh rakyat yang bakal memilih pula dapat menilai sendiri sejauh mana kredibiliti, kapasiti dan ideologi para pemimpin mereka. Setiap dari tokoh tersebut diberi waktu (1 minit 30 saat kalau tak salah) untuk mengemukakan hujah dan pendapat masing-masing. Debat seperti ini bukan saja dilakukan untuk pemilihan presiden, tetapi juga pada pemilihan-pemilihan lainnya. Biar ada 10 atau 20 partai yang bertanding, semua mereka diberi kesempatan yang sama. Tidak ada yang lebih, tidak ada yang kurang.
Seru benget!

Inilah demokrasi cara mereka. Tidak ada yang memonopoli media. Iklan-iklan yang mempormosi ketiga calon ini ditayangkan dengan sama rata. Ada iklan SBY dengan slogan ‘lanjutkan..!’, ada iklan JK dengan slogan ‘lebih cepat lebih baik..!’, dan ada juga iklan Mega [ade slogan ke?]. Bagus kan?

Bila pulak Malaysia nak buat debat macam ni?
--------
Alhamdulillah. Inilah beberapa pengalaman yang aku alami dalam seminggu di Interna. InsyaAllah gerabak waktu akan bergerak lagi, membawa aku melalui dan meneroka ilmu Allah yang Maha Luas ini. Semoga perjalanan ini dimudahkan!

Jun 25, 2009

aku ingat..



Setiap aku merasa penat, lesu dan tidak bersemangat,
Aku ingat,
Mak di sana juga sedang kepenatan - malah sibuk dan penatnya jauh lebih berat dari apa yang sedang aku lalui..
Tapi mak terus bergerak, jauh sekali berkeluh kesah..

Setiap aku merasa lemah, tidak berdaya dan putus asa,
Aku ingat,
Abah di sana juga sedang kelelahan - malah bebanan dan tanggungannya lebih banyak dari apa yang sedang aku hadapi..
Tapi abah terus bergerak, jauh sekali berpatah arah..

Setiap aku merasa ingin berhenti,
Aku ingat,
Mak & Abah di sana terus bergerak dan bergerak..
Maka aku juga harus tetap bergerak!

Jwisa~
24/6/09; 11.45 pm
Lontara 1
Rumah Sakit Wahidin Sudirohusodo
Makassar

Jun 20, 2009

Delisa, aku cemburu!

"Buku yang indah ditulis dalam kesadaran ibadah. Buku ini mengajak kita mencintai kehidupan, juga kematian, mencintai anugerah juga musibah, dan mencintai indahnya hidayah" - Habiburrahman El Shirazy


Subhanallah..Segala puji selayaknya buatMu


Terima kasih ya Allah, telah menggerakkan hati ini untuk menyelami kisah Hafalan Shalat Delisa. Ia sungguh memukau. Menyentuh jiwa yang gersang. Membasahi roh yang kontang. Aku cemburu dengan Delisa..!!

Seketika aku berada di dunia Delisa...

Delisa mengajar aku tentang kasih sayang yang terlalu tinggi nilainya di sisi Rabbnya.

“Delisa sayang ummi kerana Allah..!”

Delisa mengajar aku tentang indahnya sebuah derita yang terhias kesabaran. Delisa mengajar aku tentang kemilaunya denai yang dibenahi keikhlasan.

“Orang-orang yang kesulitan melakukan kebaikan itu, mungkin karena hatinya Delisa... Hatinya tidak ikhlas! Hatinya jauh dari ketulusan....” Delisa diam membatu. Akal 6 tahunnya tidak mampu mengerti.

Delisa mengajar aku betapa peristiwa solat itu tidak sesederhana pada rutinnya. Delisa mengajar aku mengecap nikmatnya solat itu.

Sungguh sebuah tarian penghambaan yang sempurna. Delisa tindak ingat siapapun lagi saat sujud. Pikiran Delisa satu! Delisa ingin khusyuk. Mara Arasy Allah bergetar-Subhanallah, indahnya Solat itu!

Hadiah Hafalan Shalat Delisa.. Aku juga menginginkannya..!!

Bacalah, fahamilah dan hayatilah~Hafalan Shalat Delisa

Jun 19, 2009

(0_~)

Keluarga tercinta. Aku rindu kalian~


Alhamdulillah.
Setelah hampir seminggu, kami semua kini dalam proses recovery. Secara fizikal, emosi dan ambisi dalam kehidupan ini. Demikianlah, hidup ini ada turun naiknya. Banyak pelajaran. Banyak pengajaran. Banyak pesanan. Dan banyak juga peringatan buat kami. Semoga setiap detik itu lebih mendekatkan kami kepada Yang Maha Khaliq.



[Makassar, 3.03 am; 19 June 2009]

Jun 14, 2009

La Tahzan


Aduhai hati, bersabarlah..
Allah bersama orang-orang yang bersabar.

Aduhai diri, berbahagialah..
Allah menjanjikan pahala atas kesabaranmu.

Aduhai jiwa, berlapang dadalah..
Allah berkata ini yang terbaik untukmu.

Aduhai rohku, tetaplah kental..
Allah ingin menguatkanmu dengan ujian ini.

Tulang besi itu tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan semangat perjuangan Abah!
Allahuakbar!

“Ya Allah, jadikan AlQuran sebagai penyubur hati kami, penghilang kesedihan kami, cahaya di dada kami, dan pembasmi gundah gulana kami..”


La Tahzan!

Jun 7, 2009

.:Pustaka IMAM:.

~Kami himpunkan BUKU untuk anda. Ia dari anda, untuk anda~


layari