Oct 28, 2009

Lup Dup

Maaf. Sudah lebih seminggu teratak hijau ini tidak membawa khabar. Tidak senang hati melihat bilangan pengunjung semakin bertambah, sedangkan laman ini masih juga tidak berganjak.


Ada satu soalan mudah. Apa fungsi kereta? Jawapannya pasti anda semua tahu. Kereta adalah salah satu kenderaan yang dapat membawa kita ke mana-mana yang dikehendaki.

Soalan kedua. Apakah yang menyebabkan sebuah kereta dapat bergerak – menjalankan fungsinya? Selain struktur mesin yang lengkap, ia memerlukan ‘makanan’ berupa minyak (dan yang setara dengannya) untuk mampu berfungsi sebagai kenderaan.

Soalan berikutnya.

Anda tahu fungsi jantung? Pasti ramai yang tahu... Jantunglah yang bertanggungjawab mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Tanpa darah, seluruh tubuh kita tidak mendapat oksigen yang diperlukan untuk menjalankan semua fungsinya. Kita mati tanpa darah. Betapa pentingnya jantung yang berdegup di dalam dada anda.

Cuba dengar degupan jantung anda. Lup dup..lup dup.. setia, setiap saat tidak lupa untuk berdegup.

Soalan terakhir. Kalau ‘makanan’ kereta adalah minyak, apa pula makanan bagi jantung??

Oleh kerana jantung juga adalah sebahagian dari tubuh, maka jawapannya adalah darah!

Tapi, kalau fungsi jantung sendiri memompa darah ke seluruh tubuh, dari mana pula jantung mendapat makanannya?

Macam ni...

Darah keluar dari jantung menuju ke seluruh tubuh melalui satu salur darah terbesar dalam tubuh, namanya aorta. Tapi, tak semua darah dari jantung akan masuk ke aorta. Di pangkal aorta ada satu cabang salur darah yang agak kecil, yang mengalirkan darah ke otot-otot jantung. Namanya, arteri koroner. Arteri inilah yang membawa ‘makanan’ kepada jantung, agar nantinya jantung dapat bekerja dengan optimal.

Bayangkan jika ada masalah pada arteri koroner ini. Mesti otot jantung tak cukup makanan, kan? Inilah yang difahami oleh orang awam sebagai ‘serangan jantung’, dan para doktor mengenalnya sebagai ‘coronary artery disease’



Masalah 1

Doktor : Assalamualaikum, makcik..kenapa makcik, ada yang boleh saya tolong?

Makcik : Wa’alaikum salam..ni doktor, pagi semalam makcik sakit dada..kat sebelah kiri ni (sambil mengurut-urut dadanya). Makcik baru balik dari pasar. Sampai je rumah, tiba-tiba rasa sakit. Habis basah ni, berpeluh. Sakit tu rasa macam ada yang hiris-hiris dada makcik ni. Sakit betul! Sampai ke belakang rasa sakitnye. Leher pun rasa tegang. Tangan kiri makcik ni pun sakit. Tangan kanan tak sakit pulak.. kenape ye doktor?

Doktor : Kejap ye makcik, biar saya periksa dulu. Masa sakit tu makcik buat ape?

Makcik : Hmm..makcik duduk kejap. Agaknye penat sangat kot. Memang banyak barang makcik beli kat pasar. Kebetulan pulak anak makcik ade hal tak dapat ambik makcik. Jadi makcik balik jalan kaki je la. Bukannya jauh sangat pasar tu. Makcik duduk dekat tepi masjid tu je ha!

Doktor : Ooo..habis tu, bila makcik rehat..sakit lagi?

Makcik : Alhamdulillah la tak sakit dah lepas tu. Ade la dalam 3-4 minit sakitnye. Tapi doktor, petang tu kat kebun datang pulak sakitnye. Risau makcik. Tu yang makcik datang jumpe doktor ni... memang makcik perasan 2-3 minggu ni makcik rasa sakit-sakit dada ni kalau penat. Isk, tak sedap hati le makcik...

Hmm, makcik ni memang peramah :)

Apa yang terjadi pada makcik ni adalah, jantung tak dapat makanan yang cukup sedangkan jantung perlu bekerja lebih ketika makcik ni berjalan kaki dari pasar, dan ketika berkebun pada sebelah petangnya. Masalah tak muncul pada keadaan rehat, sebab jantung pun tidak bekerja lebih. Kemungkinan, arteri koroner makcik ni dah menyempit akibat pembentukan plak di dindingnya. Jadi hanya sedikit jumlah darah yang dapat melaluinya.

Keadaan ini difahami oleh para doktor sebagai Stable Angina Pectoris. Doktor akan memberikan ubat yang hanya dimakan (diletakkan di bawah lidah) ketika sakit.




Masalah 2

Man : Assalamualaikum, Pak Lang. Dengar kata Mak Lang masuk hospital ye? Kenape Pak Lang?
Pak Lang : Iye.. Mak Lang kamu kat hospital sekarang. Doktor kata dia sakit jantung.

Man : Innalillah. Mak Lang sakit dada ke?

Pak Lang : ha’ah, dah seminggu sakit. Sebelah kiri katanye. Mula-mula kalau dia penat je sakit. Tapi hari Selasa hari tu, tak hilang-hilang sakitnye. Tengah tengok tv pun kadang sakit. Lama pulak tu. Lebih la setengah jam kot! Kesian tengok Mak Lang kamu...kami terus la bawak dia pergi hospital.. Alhamdulillah, nampak dah ok sikit. Tapi doktor kata Mak Lang kene rehat dulu 2-3 hari kat sana..

Man : Elok la tu, biar Mak Lang rehat. Kalau kat rumah pun mesti tak boleh duduk diam. Ade je yang nak dibuatnye..

Nampak bezanya?

Mak Lang pun sakit dada, keadaannya sama dengan makcik tadi. Cuma, sakit Mak Lang lebih lama, dan tak hilang walaupun berehat. Kemungkinan plak di dinding arteri koroner Mak Lang mengalami luka, menyebabkan tubuh kita cuba untuk ‘menutup’ luka tersebut dengan platlet dan trombin. Akhirnya terjadi sumbatan pada arteri koroner. Darah tidak dapat melaluinya, dan jantung menjerit.. “Aku nak oksigen!!!”

Sakitlah si Mak Lang...

Keadaan ini difahami oleh para doktor sebagai Unstable Angina Pectoris, dan perlu penanganan segera..!

Sakit jantung adalah pembunuh nombor satu negara.

Perlu diketahui, tidak hanya orang-orang yang terlantar di wad-wad pesakit jantung atau mereka yang menerima ubat jantung sahaja berhadapan dengan masalah ini. Sebaliknya, masyarakat di luar sana yang sibuk bekerja setiap hari, berjalan mundar mandir ke sana sini pun.. tidak terlepas dari ancaman sakit jantung. Proses pembentukan plak di arteri koroner anda tetap saja berjadi, hanya saja mungkin jantung anda masih ‘macho’ dan gagah menjalankan fungsinya.

Namun perlu juga diketahui, tidak semua pesakit jantung akan ‘dibunuh’ oleh jantungnya. Asalkan anda rajin mengunjungi doktor untuk pemeriksaan, rajin makan ubat seperti yang dianjurkan, dan tidak melanggar ‘pantang larang’, insyaAllah keadaan akan dapat dikawal. (pesakit jantung akan memerlukan ubat seumur hidupnya..)

Ada beberapa golongan/keadaan yang berisiko tinggi mendapat penyakit jantung.

Perokok, orang tua, lelaki, tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan, menghidap kencing manis, kolesterol darah tinggi, atau mungkin ada anggota keluarga anda pernah sakit jantung.

Dan ada beberapa hal yang dapat mencetuskan serangan jantung.

Minum kopi, stress, marah, makan yang berlebihan dan kerja yang berlebihan.
Anda di golongan mana? Siapapun anda, pergilah bertemu doktor untuk pemeriksaan rutin. Sebagaimana seorang pencinta kereta secara rutin ‘memeriksakan’ keretanya ke bengkel, jadilah seorang ‘pencinta diri’ yang secara rutin memeriksakan dirimu ke doktor (terutama mereka yang berusia diatas 45 tahun). Mencegah lebih baik daripada mengubati!



Note :
1- Coronary Artery Disease hanya salah satu dari sekian banyak penyakit jantung..
2- Doakan kami ujian di Cardiology minggu depan! :)


Maimanah, doctor-to-be (insyaAllah)
27 Okt 2009

Oct 16, 2009

Post Test Ramadhan

Dah 27 Syawal rupanya. Kalau sebulan yang lalu, semua dah sibuk nak sambut Syawal. Sekarang? Orang masih sibuk menghadiri jamuan raya jauh dan dekat. Bagi yang tengah pulun habiskan puasa sunat 6 hari, dugaan besarlah ye.. Tapi ganjaran yang Allah dah janji kan jauh lebih manis dari makan di jamuan raya tu :) Alhamdulillah, semoga niat dan ibadah kita semua diterima di sisiNya.

Hm. 27 Syawal, bermakna dah 27 hari lah jugak Ramadhan meninggalkan kita. Tak rindu ke? Lumrahnya kalau kita rindukan sesuatu, kita selalu je rasa nak melihat, menjenguk dan mendampingi sesuatu yang dirindui tu. Jadi, kalau kita rindukan Ramadhan..pasti kita terpanggil untuk teruskan dan tetap setia melakukan ibadah-ibadah sunat yang dulunya (Ramadhan) kita giat lakukan; kecuali solat tarawih la kan~ Saje nak kembali memicu kerinduan pembaca semua, semoga semangat Ramadhan sentiasa subur dalam diri kita sampailah ke Ramadhan yang akan datang, insyaAllah.

Cakap-cakap tentang Ramadhan, cuba tanya diri sendiri..sejauh mana Ramadhan yang lalu dah berjaya mendidik kita. Em, tak brapa sesuai kot soalan ni. Kita ubah sikit. Sejauh mana kita dah berjaya mendidik diri dalam Madrasah Ramadhan yang lepas?



Sekarang, Makassar dilanda ‘musim mati lampu’, dan ditambah lagi dengan ‘air yang tidak mengalir’. Dalam sehari, biasanya takde elektrik 3x2 jam. Mungkin lebih, mungkin kurang. Setiap kali takde elektrik, takde air jugak sebab air tak dapat di pam ke setiap bilik. Lebih malang lagi, sekarang air pun dah mula takde walaupun ada elektrik. Apa reaksi manusia-manusia di sini? (termasuklah aku jugak...)

“Ala..leceh la xde air. Dah la asyik mati lampu je..nak study pun xleh..”

“Ait, mati lampu lagi? Susah le camni...”

“TV aku rosak gara-gara mati lampu ni. Nasib baik tak terbakar rumah..hmmm..”

(dialog dipetik secara rawak..tidak bermaksud menyinggung mana-mana pihak)

Haa...sedar atau tak. Ni salah satu ‘hidden mission’ Allah untuk menjawab pertanyaan kat atas tadi. Ade post test Ramadhan rupanya. Khusus untuk penduduk Makassar, Allah bagi test ‘mati lampu’ dan ‘mati air’ (??) So..timbang-timbanglah sendiri apa result post test ni. Berkesan ke ‘pengajian’ kita kat Madrasah Ramadhan yang lepas?

Peringatan untuk diri sendiri yang sering lupa...

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang SABAR,” (AlBaqarah : 155)

Wallahu’alam

JwiSa~
16 Okt 2009, 12.08am

Oct 2, 2009

baca la.pendek je

Satu hari masa aku bertugas di salah satu rumah sakit swasta di Makassar, seorang pesakit di wad kelas 1 menyampaikan hasratnya untuk pulang ke rumah.

“Prof, saya mau pulang hari ini. Bisa?”

“Kenapa mau pulang? Saya periksa dulu ya..”

“Besok ulangtahun saya..saya mau ke rumah anak yatim bagi-bagi hadiah..”

Prof tersenyum. Aku pun tersenyum. Sambil angkat kening..

Orang sekarang sibuk mengharapkan hadiah di hari ulangtahun kelahirannya, tapi bapak yang satu ini sibuk menyediakan hadiah-hadiah buat mereka yang tidak beribu dan berbapa.

Dan anak-anak yatim ini pula hampir sesak kekenyangan di bulan Ramadhan, sebaliknya sesak kelaparan di bulan-bulan yang lainnya.

Sampai bila nak jadi macam ni?

Peringatan buat diri yang sering lupa~


Dua minggu aku di sini. Terima kasih.